Tuesday, October 11, 2011

PREVIEW: PANCING BENCI KAILNYA CINTA

Photobucket


Photobucket


Photobucket



Photobucket
     

                                      


                                                                         1
     Waktu persekolahan sudah setengah jam bermula. Beberapa orang pelajar  masih berada di luar kelas, bertenggek di koridor dan berbual-bual kosong. Ada yang berkejaran macam budak tadika, ada yang berjalan ke hulu dan ke hilir tanpa tujuan. Ada yang bergerak ke tandas secara beramai-ramai. Macam-macam kerenah pelajar yang boleh dilihat di sekolah ini.
 Tiba-tiba kedamaian mereka diragut. Cikgu Zarina datang bersama seorang lelaki kacak menuju ke kelas, lantas mereka bergegas melarikan diri ke tempat duduk masing-masing. Cikgu Zarina dan lelaki muda itu masuk ke kelas 5A1. Wajah Cikgu Zarina yang bengis dan kelat membisukan pelajar-pelajar yang tadinya hingar bingar. Mereka bangun serentak sambil memandang antara satu sama lain.
“Selamat pagi cikgu.” Mereka mengucap  salam pagi beramai-ramai.
“Ya, selamat pagi, duduk ” Cikgu Zarina yang terkenal dengan gelaran ‘Singa Betina’  memang menjadi kebencian ramai pelajar. Setiap kali datang ke kelas, para pelajar akan diam dan masing-masing berdoa agar cikgu Zarina cepat-cepat beredar. Namun, hari ini kehadirannya bersama seorang lelaki kacak membuatkan sesetengah daripada mereka tersenyum penuh minat. Di kepala masing-masing timbul pula tanda tanya tentang siapakah sebenarnya lelaki yang berdiri di sebelah perempuan tua itu.
“Cikgu Zarina! Yang hensem kat sebelah tu siapa?” Tiba-tiba, seorang pelajar menyoal  dari belakang dan suara itu mengubah riak wajah cikgu Zarina.
“Saya kenalkan, di sebelah saya ni Cikgu Azman, cikgu baru untuk subjek matematik tambahan. Saya harap kamu semua jaga perangai masing-masing. Walaupun Cikgu Azman masih muda, tapi kamu semua kena hormat dia sebagai seorang guru. Faham?”
“Faham….” Semua pelajar di dalam kelas itu menyahut ramai-ramai, tanda faham akan arahan cikgu bengis itu.
“Erm, cikgu Azman. Saya minta diri dulu ya cikgu. Berkenalanlah dulu dengan mereka semua. Kalau ada apa-apa, jumpa saya di pejabat.” Cikgu Azman yang berkemeja hitam dengan seluar slack hitam  tersenyum dan mengangguk lembut ke arah Cikgu Zarina. Cikgu Zarina membalas senyum dan beredar dari situ. Pemergiannya membuatkan ramai yang mula tersenyum nakal. Masing-masing teruja dengan kehadiran cikgu muda hensem itu.
            Suasana kelas yang sepi tadi bertukar riuh sebaik sahaja Cikgu bengis itu beredar. Masing-masing tidak sabar mahu memperkenalkan diri kepada cikgu kacak yang sedang berdiri di hadapan kelas.. Bermula dari barisan hadapan seorang demi seorang bangun memperkenalkan diri. Pelbagai cerita menarik tentang diri sendiri diketengahkan dengan niat mahu memikat cikgu muda yang kacak itu. Namun sikap professional cikgu Azman membuatkan mereka putus harap. Masing-masing mencuka apabila Cikgu Azman hanya mengangguk dan mengangguk dan perhatiannya hanya tertumpu pada sesuatu. Sesuatu yang membuatkannya kehairanan.
            Cikgu kacak itu berjalan ke belakang kelas, meneliti sebuah meja yang berada di hujung sekali. Sebuah beg sandang terselepuk di atas kerusi dan beberapa batang pen bergelempangan di atas meja. Meja dan kerusi yang berconteng itu menyakitkan pandangan  cikgu Azman. Dia  mengerutkan dahi sambil membaca tulisan dan mengamati lukisan-lukisan yang terdapat di meja dan kerusi itu. “Bosan + menyampah gila + benci + Malas = Ponteng”. “ Aku + runsing + buntu + serabut + penat = Mengular di jamban”
Cikgu Azman membacanya di dalam hati. Dan lukisan-lukisan abstrak yang di lukis itu tidak dapat ditafsir olehnya untuk difahami. Lantas dia tersenyum sendiri.
“Emmm…Siapa punya tempat ni?” Semua diam. Masing-masing memandang sama sendiri.
“Saya tanya ni, tempat ni tempat siapa?…” Cikgu Azman bersuara agak tegas..
“Tempat Eyreen.” Tiba-tiba ketua kelas bangun dan bersuara.
“Mana dia?”
“Erm…Saya tak tahu. Selalunya memang dia tak masuk kelas.”
“Iya?”
“Ye cikgu. Kami sangat pasti dengan jawapan kami.” Serentak pelajar kelas S.A1 bersuara lantas mereka ketawa semahu-mahunya. Ketawa yang berlebih-lebih itu memotong mood Azman untuk berada lebih lama di kelas itu.
 Aduh, nakal betul budak-budak sekarang. Aku dulu punyalah takut kat cikgu.
Akhirnya selepas berkenalan ala kadar, Azman bergegas ke bilik guru semula. Memandangkan masa hanya tinggal setengah jam untuk melangsungkan kelas, Azman hanya meninggalkan anak-anak muridnya dengan rasa teruja yang belum lagi habis. Dia meminta diri lebih awal untuk kembali ke bilik guru supaya gadis-gadis yang getik itu kembali tenang dan waras.

            Azman dapat merasai pahitnya bergelar seorang guru. Kini dia sedar, betapa dirinya memerlukan kekuatan mental yang tinggi bagi menghadapi seribu satu ragam perangai para pelajarnya. Sekolah Tinggi Perempuan Sri Nada bukanlah sekolah yang calang-calang. di daerah itu. Diantara lima belas buah sekolah tinggi, sekolah itulah yang selalu mempamerkan keputusan yang paling cemerlang berbanding sekolah- sekolah tinggi lain. Bagi Azman, mengajar di sekolah perempuan lebih mencabar. Tambahan pula sekolah Sri Nada amat terkenal dengan kenakalan para pelajarnya. Melihat wajah gadis-gadis yang getik itu membuatkan Azman berasa gerun dengan tenungan dan renungan mereka.
            Kini Azman sedar, pengorbanan ibunya yang juga merupakan seorang guru sangatlah besar. Dua puluh tahun berhikmat di Sri Nada dan kini, sudah bergelar guru besar. Ibu bukan calang-calang guru, Dia amat penyabar, ikhlas dan sangat penyayang. Sikapnya yang lemah lembut dan rasional membuatkannya tenang dan tabah dalam menghadapi tugasnya yang mencabar. Senyuman di bibirnya yang manis itu mampu menyelesaikan pelbagai masalah.
“Hai cikgu. Macam mana hari ni?”
Azman terkejut dan cepat-cepat menguntum senyum ke arah ibunya, dengan harapan senyuman itu dapat menutup segala keresahannya.
“Apa senyum-senyum? Takkan satu hari jadi cikgu dah sakit mental?”
Ibunya duduk di kerusi kayu berhampiran Azman. Di beranda rumah kayu yang mewah, dua beranak itu menikmati malam yang sepi. Dua mug milo panas di letakkan di atas meja di hadapan mereka.
“Menyampah juga dengan karenah budak-budak tu. Ingatkan sekolah perempuan okey. Rupa-rupanya tak! Lagi nakal dari jantan adalah.”
Ibunya tersenyum penuh makna. “Nak jadi cikgu, psikologi kena tinggi.”
“Dah tinggi lah ni..”
“Tinggi mana sangat Man?”
“Ibu..”
“Iyalah, ibu percayakan Man. Mesti Man boleh punya. Lagipun masih baru kan?”
“Tapi, macam ada student yang tak minat matematik tambahan dalam kelas tu.”
“Man, budak mana yang minat subjek tu?  Man dulu pun terkial-kial ibu tengok.”
Azman diam. Tertunduk dan memikirkan sesuatu. “Erm…” Azman mencapai mug milo dan minum dengan berhati-hati.
“Man,” Ibunya berganjak menghampiri Azman dan memanggil Azman manja.
“Apa dia Ibu?”
“Boleh tolong tak?”
“Tolong apa?”
“Tolong ibu carikan penyewa baru.”
“Ibu… ibu. Macam dah tak ada duit sangat. Dahlah, tak payah sewakan bilik tu, biar aje. Budak dulu mana? Dah lari? Tak bayar kan? Padan muka.” Berkasar pula dia. Nak kena budak ni.
“Man, ini bukan  soal duitlah. Ibu  sunyi,  kalau boleh carikan penyewa perempuan. Boleh ya Man?” Ibu memujuk. Azman resah. Dia mula dah orang tua ni..
“Ah, malas layan ibu ni. Tak cukupkah Man ada kat rumah ni? sekarang ni, Man dah kerja, selalu ada kat rumah.Tak sama time study dulu.” Azman bangun.
Ibunya memaut tangan Azman. “Man……Please…..!”
 Azman bangun melucutkan tangannya daripada genggaman Ibunya yang kuat.
“Yelah…yelah. Lepaslah ibu, rimas..” Akhirnya Azman berjaya melepaskan diri, Dia segera beredar. Meninggalkan ibunya sendirian menikmati malam yang masih lagi panjang. Dia melangkah perlahan ke bilik.
Azman dan ibu memang begitu. Sejak kecil, ibulah tempatnya bermanja, ibulah seorang ayah, kakak, adik dan saudara lelaki baginya. Ibulah tempat dia mencurahkan segala luka dan kecewa. Ibulah juga tempat dia berkongsi gembira. Ibulah yang lebih mengenali dan memahaminya setelah kematian ayahnya lima belas tahun yang lalu. Dengan sepenuh hati ibunya menumpukan perhatian terhadap kerjaya sebagai seorang guru. Mendidik dirinya dengan penuh kasih sayang dan manja. Kini dia pula telah berjaya bergelar seorang guru. Walaupun jiwanya bukanlah jiwa pendidik, namun keinginan ibu untuk melihat dirinya bergelar seorang guru tetap direalisasikan.


          2
Ibu merupakan seseorang yang amat berharga. Tiada harta dunia yang setanding nilainya dengan seorang ibu. Bagi Eyreen, dia tidak pernah merasai erti kasih seorang ibu. Eyreen membesar di sebuah rumah anak yatim dan tidak mengetahui siapa ibu bapanya yang sebenar. Setiap tahun dia menyambut Aidilfitri bersama kawan-kawan senasib, berbuka puasa ala kadar sahaja sehinggalah usianya menjangkau enam tahun. Namun nasibnya lebih baik berbanding rakan-rakan yang lain. Seawal usia itu, dia dipelihara oleh seorang andartu kaya yang mengambilnya sebagai anak angkat. Ketika itu Eyreen berasa nasibnya terlalu untung, terlalu baik, terlalu ajaib berbanding rakan-rakannya yang masih menetap di rumah anak yatim itu. Dia diberikan kasih sayang yang secukupnya, hidup di sebuah banglo yang besar. Ada sebuah kereta mewah dan berpeluang bersekolah di sekolah persendirian yang selesa.. Namun kini, Eyreen kembali merasai sunyi dan sepi sejak dia melarikan diri dari kehidupan mewah itu. Dunianya kembali sendiri. Dia terpaksa meninggalkan kehidupan yang selesa itu  untuk sebuah kehidupan yang lebih bebas. Walaupun kini, kesusahan kembali menimpa dirnya, tetapi dia lebih selesa begini. Walaupun dia cuma menyewa di sebuah rumah teres kos rendah dan bekerja di sebuah restauran makanan segera untuk menanggung perbelanjaan harian, dia tak kisah. Dia lebih puas menikmati hidup yang sukar ini. Menjalani hidup yang sempit seorang diri tanpa menyusahkan sesiapa.
            Dummmm Dumm Dummm…
“Buka pintu ni….” Suara seorang wanita menjerit dari luar.
Dummm dummm dummm….
“Baik kau buka pintu ni sebelum aku mengamuk.”
Ketukan itu mengejutkan Eyreen yang sedang mengelamun. Sesaat kemudian, dia mula kalam kabut. Dia bangun seolah-olah mahu melarikan diri. Dia gelisah, ke hulu dan ke hilir sambil menggaru kepala.
“Dia dah datang. Adoi, mati aku. Macam mana ni hah?” Eyreen semakin gelisah. Ketukan di pintu semakin menggila. Dia semakin gelisah. Tiba-tiba sahaja ada seorang wanita pertengahan usia masuk menghampiri Eyreen. Eyreen terkejut.
“Eh  macam..macam mana makcik boleh masuk ni?” Eyreen separuh menjerit.
“Apa! Kau ingat aku bodoh? Takkan rumah aku sendiri aku tak ada kunci?
“Habis tu kenapa makcik kecoh-kecoh tadi?” Eyreen menggaru-garu kepala.
“Kalau harapkan kau…bukannya nak buka pintu kan? Aku tak kira Reen. Malam ni kalau kau tak boleh bayar sewa rumah ni…”
“Kenapa?” Eyreen memberanikan diri untuk bertanya.
“Kau tanya aku kenapa? Patutnya aku halau kau awal-awal lagi tau. Masuk bulan ni dah empat bulan kau tak bayar sewa. Kau ingat aku beli rumah ni nak bagi kau tinggal free?”
“Kejap-kejap..” Reen menarik tangan Makcik Kiah ke arah kerusi dan memaksa wanita itu duduk.
“Kau jangan nak buat baik Reen. Aku dah faham sangat dengan taktik kau tu.”
“Bukan makcik, macam ni…saya dah seminggu tak kerja. Satu, saya sibuk nak periksa. Kedua, saya pula demam, jadi…saya..”
“Ha, mulalah tu..demam la, sakit paru-parulah, senggugutlah…buah pingganglah..Aku ni Reen dah selalu kena tipu dengan kau…kali ni..”
“Oh… kali ni betul-betullah makcik nak halau saya? Tak apalah makcik kalau makcik dah tak percayakan saya. Saya ni hina makcik, anak yatim pula. Lagipun, saya dah empat bulan merempat free kat rumah makcik ni. Macam inilah makcik, esok saya jual skuter kesayangan saya tu. Malam esok makcik datang ambik duit sewa.” Eyreen bangun lalu tersandar lesu di dinding menagih simpati makcik Kiah. Makcik Kiah diam, tertunduk memikirkan kata-kata Reen.
“Hari Ahad aku datang ambik duit sewa. Kalau kau tipu aku kali ni, siap kau. Aku campak baju-baju kau kat luar.”  Kata-kata makcik Kiah berbaur ugutan.
“Sampai hati makcik…”
“Kali ini hati aku memang sampai Reen. Kau tengoklah. Dah bagi duduk rumah bukan main selesa lagi, tapi nak bayar liat benar. Aku ni kira dah baik dah. Kalau orang lain dah lama dia halau. Tulah kalau bagi muka kat orang, kepala kita di pijak-pijak sampai berdarah. Geram betul aku. Kalau tak datang serang macam ni jangan harap nak bayar…” Makcik Kiah membebel panjang sambil keluar dari rumah.
Reen diam bersahaja sambil otaknya ligat memikirkan jalan terbaik untuk lari dari situ tanpa memberikan orang tua kepoh itu walau sesenpun. Tetapi malam ini Reen bersyukur kerana telah terlepas daripada bala yang besar. Ini bermakna, dia terpaksa mencari kediaman baru sebelum hari Ahad.

            Pagi itu berkabus. Kelibat pintu gerbang sekolah samar-samar kelihatan. Kereta mewah milik Azman menyusur masuk dengan perlahan menuju ke tempat letak kereta. Turun saja dari kereta, Azman cepat-cepat memanjangkan langkahnya ke arah lif. Dia menaiki lif ke tingkat empat dan segera mengatur langkah menuju ke bilik guru. Azman menghampiri papan kenyataan yang letaknya bersebelahan dengan pintu utama bilik guru, lantas mengeluarkan sesuatu dari dalam beg sandangnya lalu di lekatkan ke papan kenyataan. Selesai melakukan kerjanya, dia beredar masuk ke bilik guru.
            Selepas loceng pertama berbunyi, Azman bergerak pantas menuju ke kelas 5A1. Tidak sabar rasanya mahu berkenalan dengan empunya meja yang berconteng itu. Azman melangkah beserta harapan yang menggunung agar pelajar bernama Eyreen itu hadir untuk masa pertama ini. Masa pertama yang di jadualkan membuatkan Azman berasa lega kerana baginya mengajar subjek matematik tambahan di awal pagi merupakan suatu pengaturan yang baik. Otak dan badan yang masih segar dan belum terhumban dengan sesuatu yang membebankan akan lebih efektif jika digunakan dengan sebaiknya.
            Namun sejak semalam hati Azman tak senang memikirkan Eyreen. Entah bagaimana rupa dan perangainya hingga menimbulkan rasa takut dan risau dihati Azman untuk berdepan dengan pelajar begitu. Sejak dari semalam juga, Azman terasa sesuatu yang kurang menyenangkan hati. Entah apa yang akan terjadi.
“Selamat pagi cikgu…”
“Ya, selamat pagi. Duduk..” Azman menjawab salam sambil matanya tertancap pada meja Eyreen yang berada di bahagian belakang kelas.
“Erm…budak yang conteng meja tu tak datang lagi ya?” Azman menghampiri Siti, ketua kelas yang menawan wajahnya. Mata Siti bersinar-sinar memandang Azman dengan penuh minat.
“Cikgu! Untuk maklumat cikgu, dalam sebulan dua tiga kali aje Eyreen ada kat kelas.”
“Iya ke? Habis tu tak kena buang pulak?”
“Siapa nak pedulikan dia cikgu. Dia memang pelajar nombor satu sekolah ni. Tak masuk kelas pun selalu dapat best student.”
“Ilmu apa dia pakai hah?” Azman serius sahaja dan mengerutkan dahi.
“Heheheh…” Siti hanya tergelak, lalu rakan-rakan yang lain turut gelak beramai-ramai. “Dia genius cikgu.” Sambung Siti lagi.
“Macam nilah, kalaulah di izinkan Allah si Eyreen tu masuk ke kelas hari ni, cakap kat dia saya tunggu dia kat bilik kaunseling. Saya nak jumpa dia.” Azman bersungguh-sungguh.
“Okey cikgu.” Siti yang ralit merenung Azman hanya mengangguk perlahan.
Jawapan Siti  membuatkan hatinya bertambah goncang. Kalaulah ditakdirkan si pelik itu datang dan betul-betul menemuinya di bilik kaunseling, entah apa akan terjadi. Namun sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, Azman memadamkan rasa gentarnya dengan suatu niat yang bersih iaitu mahu mengubah seorang pelajar seperti Eyreen agar benar-benar berjaya dan berdisiplin dalam mengharungi kehidupan.
            Waktu pertama dan kedua untuk subjek matematik tambahan hanya diisi dengan aktiviti menjawab soalan contoh untuk peperiksaan tinggi negeri yang bakal berlangsung lima bulan lagi. Azman meninggalkan pelajar-pelajarnya yang sedang tekun dan bertungkus lumus menjawab soalan-soalan itu. Dia beredar ke bilik kaunseling dan menunggu insan yang bernama Eyreen di situ.
“Assalamualaikum.” Azman menjenguk ke dalam bilik yang lapang dan selesa itu. Inilah kali pertama Azman memasuki bilik  kaunseling sejak mengajar di sekolah ini.
“Waalaikumussalam…” seorang gadis jelita dan lemah lembut tiba-tiba keluar dan menjawab salamnya. Azman sedikit terkejut.
“Maaf. Encik cari siapa?”
“Tak, tak saya tak cari siapa-siapa. Saya cuma nak guna bilik ni sekejap. Boleh tak?”
“Encik ni cikgu kat sini kah?” Wajah gadis itu sedikit berkerut.
“Ye, saya cikgu  matematik tambahan. Baru aje kat sini. Erm, saya Azman.”
“Oh, masuklah. Saya Syira. Saya sebenarnya ada hal sikit, nak ke bilik pengetua. Cikgu masuk lah. Erm,  cikgu ada hal apa ye?”
Azman tersenyum penuh makna sebelum malangkah masuk ke bilik itu. Begitu juga dengan Syira yang kelihatan malu-malu. Kesopanannya yang teserlah membuatkan Azman juga berasa segan  dengannya.
“Saya tunggu student saya, Eyreen. Saya nak jumpa dengan dia kejap. Boleh saya tunggu kat sini?”
“Erm..boleh apa salahnya. Awak nak jumpa Eyreen kelas 5A1 kah?”
 Azman angguk perlahan sambil menguntumkan senyum yang berbunga-bunga. Dia suka bila gadis manis cantik ini menggunakan ganti nama awak untuk berborak dengannya. Rasa segan dan kekok yang dirasainya kian menghilang.
“Awak tau tak dia dah berapa kali kena jumpa saya untuk sesi kaunseling? Tiga puluh kali, tapi yang sedihnya sekalipun dia tak datang.”
Azman tertunduk diam apabila mendengar gadis jelita bertudung pink itu bercerita, lantas cerita-cerita itu membuatkan Azman bertambah gerun untuk menghadapi risiko ini. Risiko berdepan dengan si pelik itu.
“Awak duduklah. Saya ada hal, minta diri dulu, assalamualaikum.”
Azman menjawab salam.
Gadis jelita itu beredar dengan penuh sopan sambil tersenyum pada Azman.
Saat itu hati Azman bergegar hebat, tersentuh hati dan jiwa lelakinya dengan tingkah ayu Cikgu Syira. Lalu Azman melangkah memasuki bilik itu dengan segera dan bermulalah titik penantian buat seorang pelajar yang bernama Eyreen.
           


Eyreen merengus kuat, langkahnya laju selaju degup jantungnya saat ini. Masih terbayang wajah Siti, ketua kelasnya yang sangat kerek. Siti tersenyum sinis dan menyampaikan pesanan seorang guru baru yang bernama Azman. Cara Siti menyampaikan pesanan itu sangat  menyakitkan hati.
“Hey Reen, aku nak cakap sikit ni.” Siti menghampiri Reen yang baru sahaja masuk ke kelas.
Reen perasan bahasa kasar Siti terhadapnya. Ada dia kisah? Keningnya terangkat. Dia  hanya berdiri tegak mendakap tubuh sendiri sambil mendengar kata-kata Siti yang masih berbaki.
“ Cikgu Azman nak jumpa kau.”
“Siapa dia tu?”
“Anak guru besar sekolah ni. Dia cikgu baru, ajar kita add math. Dia tunggu kau kat bilik kaunseling. Sekarang!”
“Kalau dah mak dia pun okey je, apahal dia nak kecoh sangat?” Eyren memintas cakap Siti.
“Mana aku tau! Kau pergilah jum…” Belum sempat Siti menghabiskan kata-katanya, Eyreen sudah melangkah meninggalkannya terpinga-pinga.




3
Jarum panjang jam tangan Azman sudah dua kali melengkapi pusingan. Ini bermakna Azman telah menghabiskan masa selama dua jam menunggu Eyreen di situ. Semakin lama dia menanti, semakin melonjak keghairahannya untuk bertembung muka dengan Eyreen. Lagi setengah jam loceng rehat akan berbunyi.
Aku tunggu sampai pukul 10.15 aje. Kalau dia tak datang juga, aku blah. Azman bermonolog dalam hati. Dia jemu menanti di situ.  Kelibat Eyreen langsung tak kelihatan.
            Sekali lagi Azman menjeling jam di tangan, 10.10 minit pagi, lantas dia bangun dari kerusi yang empuk itu dan bersiap-siap mahu meninggalkan bilik kaunseling. Dia keluar dan menutup pintu rapat. Dia melangkah meninggalkan bilik itu dengan hati yang remuk kerana tidak dapat bertemu muka dengan gadis yang bernama Eyreen. Dia berasa tercabar dan kecewa. Azman masih menjeling jam di tangan dan dia memperlambatkan langkah. Dia menuruni anak tangga dengan perlahan sambil menyanyi-nyanyi kecil. Tiba-tiba bahunya dilanggar seseorang. Azman hampir terjatuh. Dia berpaut pada dinding. Dalam masa sesaat dia membetulkan letak duduk badannya yang senget, agar kembali seperti tadi. Dia terlihat kelibat pelajar perempuan yang terjelepuk di tangga.
“Maaf  sa.. saya” Azman tergagap-gagap. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan insiden itu.
Eyreen bangun. Membetulkan pakaiannya dan terus tercegil ke arah Azman yang masih lagi kaku.
“Hey, buta! Kalau buta jalan tepi-tepi sikit…menyusahkan orang je. Aduh…” Eyreen menengking kuat sambil menggosok-gosok ponggongnya yang sakit.
Azman tersentak. Ternganga mulutnya apabila mendengar pelajar itu memanggilnya ‘buta’. Dia yang masih terkedu hanya memandang pelajar itu dari atas ke bawah, dan dari bawah ke atas semula. Sabar Azman, sabar. Rintih hatinya sayup-sayup.
Pelajar perempuan yang tinggi lampai itu kelihatan lincah. Baju putih yang di pakainya jarang dan seksi. Kainnya singkat mencecah betis. Kasutnya berwarna merah campur hitam sementara rambutnya yang dipotong paras bahu diwarnakan keperang-perangan. Matanya besar dan menawan, bibirnya halus kemerah-merahan, pipinya putih, kulitnya putih, bulu mata panjang-panjang dan mempunyai leher yang jinjang. Kombinasi kecantikan yang menawan sekali, namun Azman tak hairan dengan semua itu. Yang menjadi kehairanannya sekarang ini adalah tingkah laku gadis itu. Sungguh biadap.
Cun pun tak guna kalau perangai macam jantan. Kutuk Azman dalam hati. “Awak ni Eyreen kan?” Azman memberanikan diri untuk berdepan dengan gadis itu.
“Dan kau ni cikgu baru yang poyo tu?  Apahal nak jumpa aku?”
“Boleh tak kalau awak hormat saya sikit?”
“Ish, dah cukup hormat dah ni….”
“Apa masalah kamu ni sebenarnya? Kelas kamu ponteng, tak reti nak hormat cikgu, kamu tau tak apa yang kamu buat ni?”
“Perlu ke aku jawab soalan kau?”
Mendengar sahaja jawapan Eyreen dada Azman berombak kencang. Selama dia hidup di atas muka ibumi ini, tidak pernah sekalipun dia bertembung dengan perempuan pelik begini. Inilah kali pertama dan harapannya inilah juga yang terakhir.
“Saya tunggu kamu dah dua jam tau…”
“Ada aku suruh kau tunggu aku? Dahlah, kau dengar sini, aku tak kacau hidup sesiapa kalau orang tu tak kacau hidup aku. Jadi lepas ni jangan kacau aku.” Eyreen memberikan amaran keras yang berbaur ugutan.
“Eyreen, saya ni cikgu awak. Kelas matematik tambahan tu, kalau awak tak masuk, awak takkan lulus periksa nanti. Subjek tu susah…” Azman cuba untuk mendekati Eyreen dengan pelbagai cara, Azman cuba berlembut.
Seketika Eyreen membuka zip beg sandangnya dan mengeluarkan sesuatu, “ni kau tengok ni…exam bulan lepas berapa aku dapat? 96% untuk subjek kau yang kacang tu. So, lepas ni tak payah nak prihatin sangat pasal aku.”
“Awak ni memang kurang ajar kan?” suara Azman sedikit meninggi.
Eyreen hanya tersengih nakal.
“Saya tengok stail kamu pun saya dah taulah kamu macam mana. Kenapa kamu terpengaruh dengan benda-benda jahat ni semua? Pakai baju sekolah suka hati kamu je. Kamu ingat sekolah ni tempat apa?”
“Kenapa?” Eyreen melihat pada dirinya sendiri dan kehairanan, ye dia benar-benar hairan dengan sikap cikgu baru ini. Membebel tak tentu pasal. Kolotnya.
“Kamu  tanya saya balik kenapa? Mak bapak kamu tak ajar kamu cara bercakap dengan orang?”
“Ey, mak bapak jangan main …apa mak bapak kau baik sangat ke sampai kau jadi cikgu penyibuk macam ni? Dengar sini, kalau kau sibuk lagi hal aku, aku cabut empat-empat tayar kereta kau. Biar kau balik jalan kaki…nama je cikgu, suka main mak bapak orang…macam mak bapak sendiri tak ada.” Eyreen menghayunkan langkah luas-luas meninggalkan Azman yang terpinga-pinga.
Azman mengetap bibir. Darahnya yang meluap tiba-tiba itu tiada siapa yang tahu akan tahap kebahangannya. Hanya dia sendiri yang tahu betapa pedih telinganya apabila dia dimaki hamun oleh anak murid sendiri yang jauh lebih muda daripadanya. Jika ikutkan perangai barannya, mahu saja mulut Eyreen dicarik-carikkan pakai garfu. Sumpah, Azman tak pernah tengok perempuan kasar begitu. Inilah kali pertama, dan minta-minta tak ada lagi perempuan begitu lahir ke dunia ni. Fuh..

Mood untuk mengajar hari itu terus mati begitu sahaja, selepas waktu rehat Azman pulang, kebetulan badannya kurang sihat. Dia ke klinik. Kemudian, setelah dapat cuti sakit dia pulang ke rumah, berehat di sofa sambil menikmati kopi panas. Dia terbaring dengan lengan kanannya di atas dahi. Dia menghela nafas perlahan dan sesekali mengeluh berat. Tidak dapat di nafikan dia masih memikirkan kejadian pagi tadi.
 Jantungnya terasa bagai mahu putus bila bertegang urat dengan gadis kasar itu. Pada mulanya, Azman agak gembira apabila melihat seraut wajah milik Eyreen yang sangat menawan, namun setelah mendengar suara gadis itu yang seperti halilintar, terputus terus niatnya untuk mengenali Eyreen dengan lebih dekat. Sesungguhnya dia menjadi gentar dan bimbang apabila gadis itu bertambah berang. Gelagat Eyreen yang mengalahkan jantan itu membantutkan niat sucinya untuk berbincang dan menasihati Eyreen
             Tiba-tiba, dia terkenang pula saat pertama kali dia terpandang meja dan kerusi Eyreen yang berconteng itu. Dia akui minat dan rasa ingin mengenali Eyreen ketika itu meluap-luap, kerana pada fikirannya, Eyreen adalah seorang yang unik, namun kini baru dia tahu betapa ‘uniknya’ insan yang bernama Eyreen itu. Sungguh ‘unik’.
“Assalamualaikum.”
Pintu terkuak dari luar. Ibu masuk dan berjalan perlahan menuju kearah Azman.
“Assalamualaikum. Ibu bagi salam kan? Man diam aje!”
 Azman tersentak. Dia bangun dari pembaringan. Cepat-cepat Azman padam segala garis-garis resah di wajahnya. Dia pura-pura senyum. Ibu duduk di tepi Azman, meneliti wajah anak terunanya yang tidak seperti biasa.
“Kenapa sayang ibu ni balik awal? Tak sihat ya? Pucat aje muka!” Ibu meletakkan belakang tangannya ke atas dahi Azman.
Azman meraih tangan ibunya, digenggam rapat dan dikucup beberapa kali. Kemudiann sekuntum senyuman kelat diberikan kepada ibu.
“Kenapa? Demam? Panas dahi ni.”
Azman baring di riba ibu.
 Ibu mengusap rambut Azman. Manja sungguh anak bujangnya.
“Tak sedap badan. Kepala pening.” Azman bersuara perlahan.
Ibu memicit kepala Azman dengan lembut. “Ala, kasihan…Anak ibu dah makan?”
Azman geleng, kemudian menuding ke arah cawan kopi yang tersadai di meja.
 Ibu menjenguk ke dalam cawan.
“La…. kopi aje? Lapar tak?”
Azman cepat-cepat angguk.
“Man rehat kejap. Ibu nak mandi, solat then ibu masak. Kita makan sama-sama okey?” Azman angguk lagi dan dia masih menggenggam tangan ibunya dengan kuat, dibawa ke dadanya dan dipeluk erat.
“Lepaslah. Ibu nak naik atas ni..”
            Azman geleng-geleng manja. Mengada.
“Ibu, Man kena serang tadi. Kat sekolah…” Azman bersuara perlahan. Hampir berbisik lagaknya.
“Hah? Kena serang? Dengan siapa?”  Dahi ibu berkerut seribu. Air mukanya yang tenang sedikit berubah.
Azman bangun dan menatap wajah ibunya. “Eyreen.”
Ibunya terdiam sesaat. Kemudian tersenyum meleret. Muka yang tadinya tegang kembali kendur. “Ibu ingat siapa tadi! Man, Reen tu memang macam tu. Dulu masa ibu mula kenal dia pun ibu bengang juga, tapi bila dah slow talk dengan dia, dah jadi macam kawan-kawan pula. Azman berkasar dengan dia kot?”
“Ibu, Man cuma nak tolong dia tau. Man tak nak dia fail, tapi kena maki pula.”
“Man tau tak? Reen tu best student tau. buat masa sekarang tak ada mana-mana student kat negeri ni boleh lawan ngan dia. Walaupun dia selalu ponteng, tapi kecemerlangan dia tu yang buat dia terus kekal kat sekolah kita. Ramai cikgu-cikgu sayangkan dia. Man tak kenal dia lagi. Nanti lama-lama okeylah tu.” Ibu memujuk.
“Tak nak kenal pun tak apa. Man tak nak ada orang macam tu dalam hidup Man. Kenapa Ibu tak tendang aje dia ke sekolah lain? Takpun buang aje sekolah. Berlagak sangat, biar dia buka sekolah sendiri.”
“Man, dengar sini ibu nak cakap. Cikgu tugasnya mendidik, bukan berdendam. Kita nak semua student jadi yang terbaikkan? Jadi, kita kenalah buat yang terbaik. Kita kenalah sabar, ikhlas dan selalu tunjukkan akhlak yang baik. Bukan jadi cikgu semata-mata nak buang student dari sekolah. Memang kita ada kuasa, tapi itu bukan tugas kita yang utama. Tugas kita ialah membimbing. Percayalah bahawa  setiap cikgu mesti ada senjata rahsia yang tersendiri. Man kena kaji diri sendiri dan cari di mana kelebihan Man untuk buat semua pelajar sukakan cara Man.”
Azman tertunduk diam. Sedikit sebanyak nasihat ibunya menusuk ke dalam otaknya, dan yang paling banyak menghantui pemikirannya kini adalah Eyreen. Eyreen dan Eyreen.
“Dah. Ibu nak naik atas..mandi. Man dah makan ubat ke belum ni?”
 Azman mengangguk sambil melihat ibunya bangun dan pergi meninggalkannya yang masih di dalam keadaan tertanya-tanya. Siapakah Eyreen yang pelik itu?
“Nanti ibu ada kawan bila ada penyewa baru di rumah kita. Yahoo.” Ibu memanjat tangga sambil mengomel.
Azman menggeleng-gelengkan kepala. “Tak habis-habis dengan bilik sewa dia.  Adoi….” Azman menekup kepala dengan kedua belah tangan dan membaringkan dirinya semula di atas sofa.

  
4
Di sofa keras dan kotor itulah tempat Eyreen merempat selama dua malam. Di stor restauran makanan segera inilah Eyreen menempatkan barang-barang dan pakaiannya yang dibawa keluar dari rumah sewanya yang lama. Sebelum tuan rumah datang dan mengamuk minta duit sewa, Eyreen cepat-cepat keluar dan mengambil keputusan untuk menetap di stor restauran itu buat seketika. Namun nasib yang baik selalu sahaja menyebelahinya. Eyreen sudah dapat bilik sewa yang letaknya tidak jauh dari situ. Ini bermakna, pagi ini dia kena bangun awal untuk menepati janjinya dengan si pemilik rumah.
“Hello, ermm…ni Puan Azliza ke?”
“Ya, saya bercakap. Boleh saya tolong?”
“Erm, puan nak penyewa bilikkan? Saya..saya nak sewa. Ada kosong lagi tak?”
“Oh…pasal bilik sewa? Ada lagi. Memang tak ada lagi siapa-siapa call saya. Boleh aje. Bila awak nak masuk?”
“Erm, kalau cepat sikit boleh puan? Hari ahad ni boleh?”
“Saya tak ada masalah. lagi pun ahad saya cuti…”
“Okeylah kalau macam tu. Saya datang ahad nanti. Terima kasih ye puan…”
           

Oleh kerana janji itu dan keadaan dirinya yang terdesak, dia terpaksa bangun awal untuk bersiap dan berkemas apa yang patut. Kebetulan hari ini Eyreen bercuti. Tiada persekolahan dan tiada kerja. Jadi hari ini adalah hari yang terbaik untuk Eyreen berpindah ke tempat tinggal baru. Selesai mandi ala kadar di bilik mandi yang disediakan di belakang stor restauran, Eyreen mengenakan jeans biru lusuh dengan baju t-shirt putih. Selipar jepun warna merah dan rambutnya yang masih lembab di biarkan sahaja. Dia menelefon teksi, dan mula mengangkat dua beg pakaiannya dan dua kotak barangan kesayangannya keluar dari restauran.
“Assalamualaikum…” Eyreen sudah agak lama tercegat di hadapan pintu pagar rumah kayu mewah itu. Pagar kayu yang cantik dan dicat coklat gelap  membuatkannya tertanya tanya tentang alamat rumah yang terpampang di iklan yang di lihatnya tempohari. Entah betul entah tidak, lagipun Eyreen tidak biasa di kawasan ini. Dia takut tersalah alamat. Tapi mengikut Pak cik teksi tadi, inilah rumahnya. Eyreen akur.
“Assalamualaikum…” Kali ini Eyreen menjerit lebih kuat dan berganjak ke hadapan sedikit, menjenguk- jenguk di sekitar pagar.
“Oh, ada loceng rupanya…” Eyreen menekan loceng beberapa kali dan seketika seorang wanita separuh umur yang tergopoh-gapah keluar dari ruang tamu rumah. Eyreen mengecilkan matanya, melihat wanita itu. Rasa macam kenal aje. Tiba-tiba hatinya bersuara. Sah aku kenal. Alamak! Adoi….
“Maaf. Saya di dapur tadi…” Puan Azliza membuka kunci pagar dengan pantas.
Eyreen hanya terdiam. Jika boleh saat ini dia mahu lari sekuat mungkin supaya dia tidak berdepan dengan guru besarnya yang baik itu. Eyreen benar-benar segan, malu dan macam-macam lagi. Kenapa dengan aku ni? adakah ini semua balasan sebab tak bayar sewa rumah kat makcik Kiah? Eyreen keresahan.
“Eh! Kamu Eyreen? Saya ingat siapa tadi. Kamu rupanya. Masuk, masuk. Panas ni. Kita sembang kat dalam. Sini, saya tolong angkat beg kamu.”
Eyreen masih membatukan diri. Dia gelisah dan serba salah. Entah apa yang perlu dilakukan dan diterangkan agar dia dapat melarikan diri dari situ. Supaya dia tidak jadi menyewa di situ. Namun saat ini, terlalu lewat baginya untuk menarik balik kata-katanya.
Bodohnya aku. Patutnya aku datang tengok dulu. Ini tak. Semua barang aku dah angkut. Alamak! Memang dah terjerat ni.
Eyreen mengangkat beg dan kotak-kotak barangannya masuk ke dalam rumah mewah itu dengan hati yang tak rela. Puan Azliza turut membantu. Kemudian barangan itu diletakkan di ruang tamu. Senyuman di bibir Puan Azliza saat itu sangat lebar kerana hatinya teramat lega dengan kehadiran Eyreen.
“Mujur ada Reen nak sewa bilik kat sini. Saya dah penat cari penyewa. Sebelum ni ada, tapi dah lari, tak bayar pula tu. Biarlah, budak- budak Reen, baru nak belajar hidup. Saya harap Reen bolehlah tinggal lama kat sini, “
“Erm, cikgu…saya..” Eyreen serba salah.
“Ha, kat sini tak ada cikgu-cikgu, panggil saya ibu. Masuk aje rumah ni siapa pun memang akan jadi anak ibu. Faham?”
Eyreen terpana dengan kata-kata ikhlas itu. Seketika hatinya yang lembut itu tersentap dan terasa sesuatu yang nyilu tiba-tiba menyerang tangkai hatinya. Dia terdiam dan kaku melihat wajah ibu yang berseri-seri. Dalam diamnya ada airmata yang hampir jatuh. Dia berpaling ke arah lain, menarik nafas panjang dan memaksa hatinya melenyapkan rasa yang sayu.
“Kenapa ni?”
“Hah? Tak ada apa…”
“Termenung jauh. Kamu okey atau tak? Kamu penat ya? Duduk dulu, ibu buatkan air.”
“Er, tak payah..cikgu. Eh bukan! ibu..saya…ermm saya… saya…” Eyreen masih diselubungi kesedihan yang menggila. Dia tidak dapat meneruskan kata-katanya yang tersekat di kerongkong. Entah mengapa tiba-tiba sahaja hatinya menjadi begitu sayu. Tiba-tiba sahaja dia terkenangkan nasib dirinya yang sebatang kara. Merempat sana, merempat sini. Hidup di atas kaki sendiri. Tak berayah, tak beribu. Hidup terumbang ambing dan selalu membawa masalah pada orang lain dan tiba-tiba hari ini dia seolah-olah mendapat seorang ibu. Juga mendapat tempat yang selamat untuk didiaminya dengan tenang.
“Kenapa dengan kamu ni?” Tanya ibu lagi.
Eyreen menutup segala kesedihan yang datang itu dengan senyuman pura-pura yang jelas menampakkan kepiluan di hatinya.
Jauh di dasar hati ibu, dia tahu Eyreen adalah seorang gadis yang baik, lembut hati dan hidup terumbang ambing tanpa kasih sayang. Pada hakikatnya sudah terlalu lama dia memerhatikan Eyreen. Sejak di sekolah lagi, sejak Eyreen mula mendatangkan masalah di sekolah itu. Sekarang Eyreen menjadi sebahagian ahli rumahnya. Lalu dia bertekad dengan bulatnya, dia mahu mendidik Eyreen dan memberikan kasih sayang buat remaja nakal itu, supaya dia menjadi seorang yang matang dan berguna.
“Mana biliknya?” Tiba-tiba Eyreen bersuara. Pura-pura tersengih gembira padahal dalam jiwanya hanya Allah yang tahu betapa sedih dan pilunya dia saat ini.
 Ibu juga pura-pura gembira. Sedikit sebanyak dia terkena tempias kesedihan Eyreen itu. Lantas,  dia mengheret tangan Eyreen dan melaju ke arah tangga. Tangga dipanjat oleh mereka dengan cepat.
“Ini bilik kamu. Okey tak?”
Eyreen mengangguk pantas. Rumah kayu mewah itu menyediakan bilik yang sangat unik. Set bilik tidur daripada kayu berkilat  yang cantik, kemas dan antik. Eyreen terdiam dan sesaat kemudian dia masuk ke dalam bilik, meneliti segenap ruang dan tersenyum ke arah ibu dengan penuh rasa puas hati.
“Ibu…Reen rasa..Reen tak mampu nak sewa bilik ni..Reen cari yang lain jelah.”
Tiba-tiba sahaja Eyreen beredar, tapi tangan ibu cepat-cepat menyambar t-shirt Eyreen dan ditarik ke rapat ke sisinya.
“Ibu nak Eyreen tinggal sini…pasal sewa tu nombor dua, tapi ibu nak Reen tinggal di sini. Please….ibu sunyi…” Wajah ibu berkerut. Dia merintih bersungguh-sungguh.
Eyreen terdiam, memikirkan kata-kata guru besarnya itu. Mesti ada something ni, sebab tu nak aku tinggal di sini. Hati Eyreen berdetik.
“Sebulan berapa sewanya? Dalam iklan tu dua ratus, mahal la..”
“Alah, ibu suruh Azman yang iklankan. Dia tu memang mata duitan. Ibu ambik seratus sebulan, dapur, mesin basuh semua kat bawah. Reen boleh aje nak masak ke, nak buat apa pun. Janji Reen bayar ibu sebulan seratus dan tinggal kat sini. Okey?”
“Ibu, boleh saya tanya sikit tak?”
“Apa dia?” Ibu tercegil menanti soalan.
“Kenapa ibu beria-ria sangat nak Reen tinggal sini?”
Tiba-tiba ibu diam. Kemudian wajahnya bertukar serius. “Ibu…nak anak perempuan..macam kamu…”
“Azman kan anak ibu…”
 “Dia lelaki. Tengok! Kalau hari minggu begini dia keluar tinggalkan ibu seorang-seorang.”
“Mulai hari ni Reen temankan ibu. Set?”
“Okey, set.” Ibu dan Eyreen melagakan ibu jari dan masing-masing telah memenuhi tuntutan jiwa masing-masing. Seorang mahukan ibu dan seorang lagi mahukan seorang anak perempuan. Kini segalanya telah sempurna. Apa yang diinginkan mereka telah berlaku dengan jayanya tanpa sekatan. Namun jauh di sudut hati,  Eyreen tahu  terdapat saki baki rasa risau yang agak mendalam. Bukan risaukan ibu yang telalu baik, bukan risaukan guru besar yang harus dilayan seperti ibu, bukan juga risaukan tentang sewa, tetapi dia memikirkan tentang Azman. Tentu peristiwa tempohari akan menjadi dendam di hati Azman. Sekaligus memupuk kebencian yang dalam terhadap dirinya. Sedikit sebanyak terdetik ketakutan untuk berdepan dengan lelaki itu. Tetapi memandangkan keadaan dirinya yang tiada tempat tinggal, dia terpaksa menerima tawaran istimewa ini. Mendapat sebuah bilik yang selesa dan seorang ibu yang baik hati dengan hanya RM100 sebulan, siapa yang menolaknya memang bodoh. Jadi, soal Azman ditolak ke tepi. Biarlah segala-galanya berlaku dengan sendirinya tanpa dipikirkan kesannya yang memang tak terjangkau oleh fikirannya saat ini.

 5
            Apa yang dapat dirasakan sekarang hanyalah sesuatu yang bernama penat yang kian menjalar ke segenap pelusuk badannya yang melidi. Ikutkan hati mahu sahaja dia tidur tanpa menghiraukan barangan dan pakaiannya yang masih belum dikemas itu. Jam di dinding kayu itu telahpun berkali-kali memenuhi putaran bulatnya dan kini jarum pendek jam itu sudah hampir ke angka dua.
 Berkali-kali Eyreen menguap kepenatan dan berberapa kali juga dia tersengguk ke lantai. Lantas Eyreen bangun, membetul-betulkan pinggangnya yang sakit dan berjalan mundar mandir sambil melihat barangannya yang berselerak. Kalaulah tidak kerana mengikut kehendak ibu yang bukan-bukan, tentu aktiviti mengemas ini sudah lama berakhir. Sejak pagi, selepas membawa barangan dan pakaiannya naik ke bilik, dia asyik melayan bualan ibu yang tak pernah habis, bercerita tentang semua benda. Bermula dari Azman di dalam alam rahim sampailah Azman mencecah umur dua puluh empat tahun dan bermacam-macam lagi yang dibualkan, sampaikan rahang Eyreen sendiri terasa bagai mahu tercabut kerana melayan kerenah ibu yang suka sangat bercerita dan flashback kisah-kisah lampau.
            Perbualan dihentikan apabila tiba waktu makan. Ibu mengajaknya turun ke dapur dan mereka masak bersama. Selepas menyenyangkan perut masing-masing, ibu mengajak Eyreen  berbual di ruang rehat pula. Mereka berborak sehinggalah waktu menjangkau lewat petang. Waktu solat, Eyreen kena jadi makmum di belakang ibu. Hinggalah selepas isya’, barulah Eyreen “di bebaskan” dan saat ini Eyreen baru mula mengemas pakaian dan barangannya. Badan sudah penat, mata sudah layu, otak telahpun letih, apa lagi yang boleh Eyreen lakukan selain daripada termenung dan memikirkan bagaimana mahu menyiapkan aktiviti mengemas dengan cepat. Dia dah tak sabar nak berlingkar di atas katil. Tambahan pula, kerja-kerja mengemas bukanlah bidang yang sesuai buat Eyreen. Dia lebih rela menggalas mesin rumput dan memotong rumput di sekeliling rumah berbanding mengemas pakaian dan barangan yang berselerak itu. Tekanan betul!
            Lantas, Eyreen mengambil keputusan untuk beredar sebentar dari biliknya yang haru biru itu. Dia menguak pintu bilik dan perlahan-lahan menghayun langkah dengan tenang menuruni anak tangga kayu yang cantik dan kemas. Lampu di bahagian ruang tamu telahpun di matikan. Bilik ibu yang terletak bersebelahan dengan tangga juga telah gelap. Dah tidur la tu, penat bercakap.Hehehe. Hati Eyreen berbicara sendiri.
 Dia turun ke bawah dan bergerak laju ke arah dapur. Jarinya yang runcing memetik suiz lampu. Lalu dia mencapai gelas kaca jernih dan membuka peti sejuk dua tingkat yang mempunyai ketinggian hampir sama dengannya . Eyreen melutut sambil meneliti isi peti sejuk yang sendat. Lantas dia mencapai sekotak minuman oren, dia bangun, mengopek kotak itu dengan kasar, kemudian menghempas pintu peti sejuk dengan kuat sebelum mengisi minuman ke dalam gelas. Dengan lahapnya dia meneguk air. Dia benar-benar dahaga.
“Ah.. sedap gila. Hilang penat.” Eyreen mengomel sendirian sambil bersandar di dinding dapur. Lalu sekali lagi dia tuang minuman kotak itu ke dalam gelas lantas diteguknya. Kali ini lebih tenang berbanding tadi. Perlahan-lahan dia meneguk minuman itu hingga habis. Sambil menikmati minuman yang enak itu, fikirannya ligat memikirkan keadaan dirinya sekarang. Sampai bila dia harus melarikan diri daripada Azman? Sampai bila dia harus tinggal di sini dan dibayangi oleh bayang-bayang Azman yang selalu meragut ketenangannya? Jika diikutkan tekaknya yang dahaga, dua jam yang lepas dia sudahpun berada di sini. Oleh kerana takut terserempak dengan insan yang bernama Azman, dia menahan rasa dahaga yang menyengat tekak.
Hidup begini memang menyiksakannya. Kalaulah dia tahu iklan bilik kosong yang terlekat di papan kenyataan sekolah itu adalah iklan yang ditampal oleh Azman, sumpah tak akan sekali-kali dia menghubungi nombor telefon yang ditulis di kertas itu. Lebih rela dia menjual barangan kesayangannya untuk membayar sewa rumah yang lama, daripada berpindah ke dalam mulut singa yang menanti mahu membahamnya pada bila-bila masa sahaja.
             
Kalau diikutkan hatinya yang kecut pada tika dan waktu sekarang , mahu sahaja dia keluar senyap-senyap dari rumah mewah ini. Tetapi bila fikirkan ibu yang terlalu baik padanya, dia tak sampai hati pula nak melakukan suatu perkerjaan yang jahat begitu. Kalaupun dia terlepas hari ini, esok atau lusa ibu mesti mencarinya di sekolah dan bertanya mengapa dia keluar dari rumah  secara senyap-senyap.
Oleh kerana menjaga hati dan memikirkan keadaan semasa yang mendesak, Eyreen menanggung risiko untuk tinggal sebumbung dengan seorang lelaki kerek yang dimakinya tempohari. Sesungguhnya dia telah bersedia fizikal dan mental untuk berdepan dengan Azman sekiranya lelaki itu mengganas dan cuba membalas dendam.
“Hoi.”
Sergahan itu membuatkan badan Eyreen melambung. Gelas yang dipegangnya terhempas ke lantai. Lalu dia mula menggelabah. Melihat kelibat Azman yang tercegat di hadapannya seperti melihat seekor beruang kutub yang kelaparan, Eyreen mati bicara. Dia menelan liur beberapa kali.
Aduh, dia dah datang. Alamak mati aku. Apa aku nak buat ni? Time ni jugalah gelas ni nak pecah. Adoi.
“Apa hal kau kat sini?Apa hal kau kat dalam rumah aku?” Azman menghampirinya. Merenungnya dengan pandangan tajam setajam pisau.
Eyreen terkedu.
“Eh, Aku  tanya kau ni.” Suara Azman semakin meninggi.
“Kau nak tengking-tengking ni apa hal? Aku tak pekak la.” Eyreen melawan rasa takutnya.
“Kau kat rumah aku  sekarang ni. Jadi, kau jangan nak tunjuk samseng kat sini. Sedar sikit kau tu perempuan..” Azman mula menunjukkan taring. Hah rasakan kau. Hari tu kau bukan main lagi maki aku. Kita tengok sikit malam ni siapa yang menang.
“Apa masalahnya kalau aku perempuan?”
“Eh, kau tak reti minta maaf ke?” Sergah Azman. Dia benr-benar berang dengan sikap Eyreen tempoh hari.
“Apa hal pulak aku nak kena minta maaf?”
“Kau ni memang kurang ajar kan? Tak reti nak hormat orang.”
“Eh! Siapa yang tak hormat siapa ni? Kau yang datang tegur aku hoi, kau cakap aku kurang ajar?” Eyreen duduk mengutip kaca-kaca yang bertaburan. Dia dah rasa malas  mahu melayan cikgu yang gila macam cikgu Azman ini. Dia tahu cikgu Azman tiada point untuk marah. Dia cuma mahu melepaskan dendam yang belum terlunas tempoh hari.
Nasib baik jugak gelas ni pecah, boleh juga aku kutip kaca ni, dari tengok muka singa tu. Aku takut…
“Ini rumah aku, suka hati akulah nak cakap apa pun! Yang kau tiba-tiba kat sini kenapa?”
“Aku sewa kat sini. Ada masalah?” Eyreen mengangkat kening kemudian tersenyum sinis menyakitkan hati. Lalu bangun membuang serpihan kaca itu ke dalam tong sampah.
“Memang banyak masalah dan sebelum masalah baru timbul baik kau blah dari sini. Kau tau tak aku tak suka kau?”
“Tau…habis tu?” Eyreen menghampiri Azman dan memeluk tubuh sendiri. Dia tenang sahaja menghadapi pergaduhan yang mulai tegang.
Azman semakin berang. Turun naik dadanya menahan kemarahan yang meluap-luap. Sakit hatinya pada Eyreen tempoh hari belum lagi habis. Masih terbayang bagaimana Eyreen memaki hamunnya. Menggelarnya buta dan macam-macam lagi. Masih segar semua itu di jiwanya hingga detik ini. Sekarang perempuan yang amat memualkan itu adalah merupakan penyewa baru di rumahnya. Sungguh tak masuk dek akal, bagaimana perempuan kasar ini boleh tersasar hingga ke sini. Mengapa dalam ramai-ramai warga Sri Nada, Eyreen yang menjadi penyewa di sini. Oh tidak…..!
“Boleh tak kalau kau ambil barang-barang kau dan blah dari sini?”
“Apa hal pulak aku nak kena buat macam tu? Aku dah bayar deposit tau!”
“Deposit tak deposit, aku tak kisah, sekali aku benci orang…aku memang akan benci sampai bila-bila. Kau tak payahlah nak bela diri lagi.” Azman memberi kata putus.
“Dahlah, dari aku layan kau yang gila ni, baik aku tidur.” Eyreen beredar, melangkah laju-laju menuju ke arah tangga.
Azman mengikut langkah Eyreen, rapat. Kemudian, dia menyambar lengan Eyreen yang kurus dan menggenggamnya erat.
 Eyreen terkedu. Dia mati bicara sebentar.
“Eh… lepaslah. Sakitlah bodoh..” Dia meronta sekuat hati. Adoi, kenapa dia ni? Dia betul-betul marah dengan aku ke? Kalau macam ni matilah aku. Masak aku malam ni.
“Kau panggil aku bodoh? Hey! kau dengar sini. Selagi kau tak minta maaf dengan aku, jangan harap aku nak bagi kau tinggal kat sini. Cepat minta maaf dan mengaku semua salah kau kat aku.” Azman masih memegang lengan Eyreen.
 Eyreen meronta-ronta.
“Aku tak nak. Sumpah aku takan buat macam tu. Lepaslah bodoh..”
“Apa hal kau panggil aku bodoh hah?”
“Kau memang bodoh. Aku panggillah kau bodoh” Eyreen menyentap tangannya dan akhirnya terlepas. Cepat-cepat dia berlari ke atas masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu dari dalam.
            Dummm Dumm Dummm….Azman menumbuk pintu bilik Eyreen. Berkali-kali.
“Wei, buka pintu ni bodoh…kang aku tendang kang..” Azman bertempik seperti orang hilang akal.
“Tendang lah. Ada aku hairan?” Eyreen menjawab dari dalam bilik. Seketika kelihatan ibu keluar dari biliknya dan melangkah perlahan mendapatkan Azman yang sudah hilang sabar. Dia memegang bahu Azman.
“Azman…pergi tidur”
Azman sedikit terkejut.
“Ibu! Budak ni kurang ajar sangat ibu..Man nak..”
“Man….dengar cakap ibu. Pergi tidur…”
“Ibu, Apa ni? Takkan ibu pun nak memihak dia?”
“Man, ibu cakap apa?” Ibu agak serius, Azman perlahan-lahan tenang. Kemarahannya kendur tiba-tiba apabila melihat air wajah ibunya yang memohon agar dia berundur dan mengalah. Azman faham benar dengan kelakuan ibunya. Jika permohonannya secara baik itu di tentang. Ibunya akan mengamuk dengan lebih dahsyat lagi. Jadi lebih baik dia berundur.

6
            Azman memendam rasa. Perasaannya terluka. Jauh di sudut hatinya dia terguris dengan sikap ibu yang memihak kepada Eyreen. Tiba-tiba sahaja timbul rasa cemburu di jiwanya. Rasa cemburu yang memijarkan hatinya dan ianya terlalu sakit. Di samping kecemburuan yang melanda hati, persoalan demi persoalan mula tercipta. Timbul pertanyaan tentang kasih sayang dan penerimaan ibunya terhadap gadis pelik itu. Pertanyaan itu kerap menyapa otaknya yang senget.  Mengapa ibunya yang berdisplin dan tegas boleh menerima gadis seperti Eyreen? Sungguh tak masuk dek akal. Boleh pula ibu bagi Si Eyreen tu sewa kat sini, suka hati dia masuk dapur, jalan sana sini. Dia ingat rumah ni bapak dia yang punya ke? Hati Azman memberontak.
 Azman benar-benar tidak berpuas hati dengan layanan ibu terhadapnya. Pagi itu dia bangun awal, ataupun dengan bahasa yang lebih jujur, dia tak dapat melelapkan mata hingga ke pagi. Setiap kali kelopak matanya mahu tertutup, dia terbayangkan muka Eyreen yang menyakitkan hati. Terbayang bagaimana saat muka si pelik itu marah dan melawan kata-katanya. Terbayang tubuh Eyreen yang kurus melidi, terbayang rambutnya yang di warnakan perang, juga terngiyang-ngiyang suara Eyreen yang serak serak basah. Oh, sungguh menyampah. Sungguh benci.
Azman melangkah menuruni anak tangga sambil hatinya mencaci maki Eyreen sepuasnya. Sekilas dia berpaling dan menjeling ke arah bilik Eyreen. Huh..tak bangun lagilah tu. Pemalas punya perempuan. Tak sedar diri.
Azman terus melangkah kebawah dengan langkah yang kurang bersemangat. Berbeza dengan hari-hari sebelumnya. Kejadian semalam benar-benar mencuri ketenangannya. Benar-benar merampas kegirangannya yang sebelum ini yang tak pernah kurang.
“Man, sarapan dulu.” Ibu sibuk di meja makan, menyediakan sarapan. Azman hanya berlalu tanpa sebarang kata. Dia melaju ke ruang tamu. Teguran ibunya hanya dibuat endah tak endah. Ibu meninggalkan meja makan, membontoti Azman yang berdiam diri. Ibu faham benar dengan kelakuan anak terunanya itu. Jika ditegur tak menjawab atau pura-pura tidak dengar mesti ada sesuatu yang tidak kena.
Ibu masih ingat peristiwa sepuluh tahun dulu. Ibu memarahi Azman yang suka tidur lambat kerana menonton televisyen. Ketika itu Azman merajuk  dengan ibu, beginilah sikap Azman. Berubah jadi dingin dan jauh hati. Duduk seorang diri. Kalau ditegur dia akan membisu. Kalau didekati dia akan bangun dan menjauhkan diri. Kadang-kadang Azman akan terperuk sahaja di bilik. Azman memang seorang yang manja. Lembut hati tetapi tegas. Mengada-ngada.
Ibu tahu, Azman berkalakuan pelik hari ini kerana peristiwa semalam. Dia terguris hati dengan tindakan ibu yang membenarkan Eyreen menyewa disitu. Ibu mengeluh sambil mengejar langkah Azman yang laju. Azman duduk di kerusi kayu di beranda rumah. Dia termenung lama. Ibu menyusurinya dari belakang dan termati langkah ibu apabila melihat Azman termenung di situ. Dia mengarang idea yang sebaik mungkin untuk memujuk dan berhalus bicara dengan Azman. Dia tahu benar sikap Azman yang suka merajuk. Jika tak dipujuk, Azman akan terus dingin. Terus menerus diam dan bermasam muka.
“Man sayang… Jom makan!” Ibu bersuara lembut di belakang Azman.
Azman diam, sedikit pun tak berpaling.
 Ibu menghampiri Azman. Dia memegang bahu Azman. Diusapnya dengan penuh kasih.
Azman mendongak, melihat wajah ibunya yang tersenyum memujuk.
“Man,  I minta maaf.  I tak sengaja nak marah you semalam…maafkan I please.
Ibu memujuk dalam nada bergurau.
Azman diam. Ibu ni kalau aku nak buat keras hati sikit mulalah nak buat lawak. Aduh. Azman tahan geli yang menyucuk-nyucuk tangkai hati. Dia diamkan diri.
“Man…I sayang kat you..You janganlah macam ni. I tau I salah. Man…jom makan jom…”
Azman tetap diam.
Ibu duduk di sisi Azman, lentok di bahu Azman sambil memeluk lengan Azman. Ibu mengeluh. Dia berputus asa. “Man, dahlah tu. Ibu tau ibu garang sangat semalam. Sorry sayang..”
“Ermmm” Azman bersuara perlahan.
Ibu bangun dan menarik lengan Azman. “Jom sarapan sama- sama. Nanti lewat pergi sekolah. Cepatlah…” Ibu menarik tangan Azman. Kuat.
Nak tak nak Azman terpaksa bangun dan mengikut langkah ibunya. Inilah kekuatan ibu yang paling dihormati Azman. Ibu seorang yang lembut hati dan sensitif dengan perasaan orang lain. Dia cukup peka dengan apa yang orang lain rasa. Dia lebih suka menjaga hati orang berbanding perasan sendiri. Azman benar-benar kalah dengan psikologi ibunya yang sangat tinggi. Dia merupakan penawar buat Azman. Bagaimana marah pun Azman pada ibu, mesti tak lama. Paling lama pun sehari. Lepas itu mereka akan kembali bergelak ketawa seperti biasa.
Azman duduk, kemudian menarik cawan hampir dengannya. Ibu menuangkan teh o suam ke dalam cawan sambil merenung wajah Azman yang murung. “Budak degil, tak boleh tegur kasar-kasar Man…” Tiba-tiba sahaja ibu bersuara perlahan, penuh hemah.
Azman mengangkat muka, melihat wajah ibunya. Seketika dahinya berkerut. Dia tidak faham  kata-kata ibu. Sejenak dia terkebil-kebil, berfikir. “Ohhh…pasal budak tu?” Sesaat kemudian Azman menyambung. Dia mulai faham apa yang ibu katakan. Dia mengerti siapa yang dimaksudkan ibu. “Kalau degil aje tak apa ibu. Ini tak, kurang ajar, berlagak, tak reti nak hormat orang.”
“Man…perlahan sikit boleh tak?”
“Ah... Biarlah dia dengar. Kenapa kita nak kena jaga hati dia pulak?”
“Man…cuba Man dekati dia. Cuba berkawan dengan dia. Ibu rasa Reen ok aje, macam perempuan lain juga, cuma..”
“Cuma, macam jantan sikit kan? Bukan sikit ibu. Memang dah macam jantan. Ibu nak Man rapat ngan budak sengal tu? Sorry banyak- banyak” Azman menghirup teh dengan sedikit rakus, kemudian wajahnya berkerut kerana lidahnya disapa teh yang panas.
“Man kalau bercakap pasal perempuan…lancang, nanti Man jatuh hati kat Si Reen tu baru Man tau. Masa tu ibu nak gelak jahat kat Man…Hah hah hah hah…” Ibu melakonkan gelak jahat yang dimaksudkan.
 Azman merenung wajah ibu. Dia mula rasa marah. “Doalah yang pelik-pelik ibu…nanti jadi menantu ibu, baru padan muka. Masa itu Man pun nak gelak jahat kat ibu.”
“Eh, tiru orang pula.” Ibu duduk, kemudian menjamah roti keping tanpa jem.
“Tak bangun lagikah budak tu?
“Eh, awal-awal lagi dia dah siap tau nak pergi sekolah. Bos dia datang ambik.Dia nak ambik skuter dia kat restauran.tempat dia kerja tu.”
“Tadi tak kasi cakap kuat-kuat, macam lah budak tu kat atas.”Azman menggeleng.
“Saja je nak gempak” Ibu tersengih.
“Restauran apa? Kecil-kecil dah  kerja?”
“Eh, banyak pulak tanya. Nak tau, Man tunggu dia balik, then Man tanya sendiri okey!” Ibu bangun, mencapai beg tangan yang berada di atas kerusi di sebelahnya, kemudian menutup makanan dengan tudung saji.
“Dahlah. Man lewat nanti…” Azman meletakkan cawan, dia bangun.
Ibu menolak belakang Azman supaya cepat-cepat berjalan.
Azman hanya melayan kerenah ibunya yang “gila” itu.
“Naik kereta Man boleh? Ibu malas nak drive.” Ibu cepat-cepat berlari masuk ke dalam kereta, kemudian dia gelakkan Azman yang terpaksa menutup dan mengunci pintu rumah.
Azman hanya menggeleng. Dia masuk ke dalam kereta, hidupkan enjin, kemudian bertolak ke sekolah.

7
            “Sekolah, kerja, sekolah, kerja, sekolah, kerja…weiiiii nak pergi sekolah ke nak kerja ni? Eyreen menepuk bahu Tengku; bos restauran makanan segeranya yang sporting. Tengku hanya duduk sambil minum coke. Di selang selikan dengan menyedut rokok.
“Reen cakap ngan abang ni…pekak..”
“Ishhh…kau tu budak kecik, kena pergi sekolah, sengal.”
“Eh..Reen berhenti kerja kang?”
Tengku senyum senget pada Eyreen.
Eyreen menarik kerusi kemudian duduk di sisi Tengku. Dia mencapai kotak rokok yang tersadai di atas meja. Mengeluarkan sebatang rokok, lalu disumbat ke bibirnya yang menawan. Kemudian mencapai pemetik api. Dia menyucuh rokok, lalu disedut dalam-dalam asap itu.
“Fuhhh, lega gila dapat hisap rokok ni.”
“Kau ni…cukup la tu…tak kenyang asap tu. Baik kau makan nasi.”
Eyreen diam. Dia asyik melayan rokok yang kian memendek. Dia menyedut dalam-dalam sepuas hatinya kemudian menghembuskan asap ke atas. “Aku nak hisap puas-puas, karang kat rumah nanti dah tak boleh hisap.”
“Kau ambil aje sekotak ni, kau isap dalam jamban, bodoh….!” Tengku mencapai kotak rokok itu kemudian dilembarkan kepada Eyreen, Eyreen menyambutnya. Lalu tersenyum simpul.
“Kalau terbakar rumah guru besar tu macam mana?” Eyreen bersahaja.
“Alah, kalau dah terbakar mana ada bahan bukti, semua hangus.” Tengku sengaja mahu menamatkan perbualan itu di situ.
“ Ye ke? Boleh macam tu pulak?” Eyreen menggaru-garu kepala.
“Dah, jangan nak pikir banyak-banyk pasal rokok tu, nak hisap, hisap. Tak nak buang je. Tu kat depan sana banyak lagi kerja menunggu kau.” Tengku membebel panjang.
Eyreen mengejek kata-kata tengku sambil melangkah menuju ke depan. Tengku pula bangun dan bergerak ke hadapan untuk membantu apa yang patut. Aduh, ada pekerja manja macam Eyreen ni, kalau aku sendiri tak turun padang dah lama muflis. Tengku tergelak sendiri.
Hubungan Tengku dengan Eyreen sangat akrab, bagai adik dan abang. Eyreen mengenali Tengku Shazrin sejak setahun yang lalu. Sejak Eyreen lari dari rumah, dengan hanya berbekalkan beberapa helai baju, Tengkulah yang membawanya ke restauran itu. Memberinya makan dan membenarkannya bekerja di situ.
“Kenapa adik duduk kat depan restauran saya ni? Dah malam ni, saya nak tutup restauran.”
Saat itu Eyreen kelihatan takut-takut.
“Ok tak ni?”
 Eyreen menggeleng.
Tengku menghampiri Eyreen. Dia memandang Eyreen dari atas ke bawah, bawah ke atas dengan pandangan simpati dan pelik.
“Macamana aku nak tolong kau ye?”Tengku menggaru kepala. Seketika dia berfikir.
“Boleh tak aku kerja sini, tinggal sini?”
“Hah?” Dahi Tengku berkerut.
“Tolonglah bang. Saya lari dari rumah. Erm, nanti saya cerita.  Yang penting sekarang bagilah saya tinggal kat sini.”
 Tengku semakin serba salah. Biar betul budak ni.
“Aku nak bawak balik kau kat rumah aku pun..kang kena cekup pulak. Erm, kau berani ke tidur sorang-sorang kat restauran ni? Belakang sana ada stor, cam bilik rehat la, ada sofa je. Tak ada katil. Boleh?”
Eyreen mengangguk laju, lalu bangun mengikut langkah Tengku yang kembali ke pintu utama Restauran. Membuka kunci grill besi, kemudian membuka pintu.
“Aku tinggal kau ni. Kau berani duduk seorang-seorang?”
Eyreen mengangguk pasti. “Terima kasih bang.”
Tengku tersenyum kelat.
            Bermula di saat itulah, Eyreen menjadi sebahagian daripada hidup Tengku. Tengku Shazrin, merupakan seorang pemuda yang baik hati. Berumur dua puluh enam tahun. Kurus tinggi, segak tapi sedikit jongang - jongang yang comel. Tengku memulakan perusahaan restauran makanan segera itu sejak di sekolah menengah lagi. Tetapi restauran itu dulu hanya restauran menjual roti dan bun, tapi sekarang ianya berkembang menjadi sebuah restauran makanan segera yang agak mahsyur. Habis peperiksaan tinggi, Tengku malas menyambung pelajaran ke mana-mana pusat pengajian. Dia lebih gemar berdikari dan berusaha mengembangkan perniagaannya. Kini sudah bergelar bos. Mempunyai lima orang pekerja, termasuk Eyreen. Eyreen hanya bekerja separuh masa kerana sibuk dengan pelajaran di sekolah.  
            Tengku sangat menyayangi Eyreen. Eyreenlah yang banyak membantunya, banyak memberikan sokongan, dorongan dan semangat hingga dia mencapai kejayaan seperti hari ini. Pernah Eyreen menjual barangan kesayangannya untuk menolong Tengku membayar hutang. Eyreen jugak berpenat lelah membantu Tengku menguruskan restauran. Tanpa Eyreen tak mungkin Tengku sampai ke tahap ini. Tengku akui, Eyreen adalah insan terpenting dalam perniagaannya. Terpenting juga dalam hidupnya sebagai seorang lelaki. Dia menyimpan rasa sayang yang dalam terhadap gadis kasar itu. Tetapi, tak pernah disuarakan kepada Eyreen secara terang-terangan. Itulah masalah terbesar yang dihadapi oleh tengku. Dia memang tidak pandai menunjukkan rasa sayangnya. Tak reti mempamerkan rasa rindunya yang mendalam dan tak handal melemparkan kata-kata bunga buat insan yang disayangi, kerana baginya Eyreen masih budak-budak. Moga-moga  suatu hari dia akan faham. Suatu hari nanti dia akan mengerti.
“Abang…Reen balik dulu, ni orang ambil pizza ni. Kang cari pulak.”
“Ambil lah..habiskanlah, abang tak nak. Balik nak makan nasi tapau. Jemu makan pizza, Ambil bawa balik kat tuan rumah kau.” Tengku mengelap meja kaunter dengan kain tuala .Dia tengah bersiap-siap mahu menutup restauran. Semua pekerja sudah pulang kecuali Eyreen. Eyreen juga sudah selesai kerjanya dan sibuk memasukkan pizza ke dalam plastik.
“Abang esok Reen datang petang tau. Pagi nak pergi sekolah kejap .”
“Ermm…ok..”
“Reen balik dulu bang. Bye…hantu gigi.”
“Ishhh budak ni, main-main..” Tengku hanya memandang kelibat Eyreen yang terkinja-kinja berlari keluar dari restauran.
“Elok-elok bawak skuter.” Tengku bertempik.
            Eyreen menyarungkan helmet, menghidupkan enjin dan melangkah ke atas skuternya, lalu memulas minyak. Skuter  warna merah hitam yang penuh dengan sticker spiderman itu meluncur laju menuju ke rumah
  
8
            Azman tak dapat melelapkan mata. Pejam saja mata, wajah cikgu yang mulus itu pasti akan muncul. Bersilih ganti dengan wajah Eyreen yang amat dibencinya. Azman memang begitu. Jika terfkirkan seseorang, dia pasti terbayang-bayang dan teringat-ringat hingga mengganggu tidurnya. Azman mengiring ke kiri, sesaat kemudian dia mengiring ke kanan. Tetap sama. Dia tak dapat lelapkan mata. Wajah Cikgu Asyira terbuai-buai di layar matanya yang gila. Teringat siang tadi cikgu jelita itu menegurnya, menyapanya manja sama seperti hari pertama Azman mengenalinya di bilik kaunseling.
“Dia tu..dah ada yang punya Man. Dah dua kali putus tunang, sekarang ni berkawan pulak dengan anak buah cikgu Raodah, kali ni jadi kot.” Kata-kata ibu semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah masih terngiang-ngiang di telinga Azman.
“Iya ke dah berpunya? Ala, bukan isteri orang lagi ibu. Hahah…Man suka dia, lemah lembut, sopan. Macam tulah wanita idaman Man…”
Ibu tergelak besar. “Alah Man, semua perempuan kat dunia ni baik man, sopan. Lelaki yang nak kena sempurna dulu sebab lelaki yang nak didik perempuan. “
“Alah ibu ni…Man ok apa? Jadi Man pun naklah isteri yang baik-baik.”
“Allah dah janji Man, lelaki baik untuk perempuan baik-baik, kenapa nak takut? Jadi jelah baik, nanti dapat isteri yang baik.”
“Man nak cikgu Syira jugak.” Azman merengek manja sambil memandu. Ibu tersenyum melihat gelagat anak terunanya yang sudah gila bayang.
            Sedikit sebanyak, Azman berasa lega kerana hasrat dan suara hatinya terlunas juga ke pendengaran ibunya. Sekarang misinya adalah mendapatkan Cikgu Asyira. Mendekatinya dan mengenalinya dengan lebih dalam. Azman tersenyum seorang diri. Dia bangun dari pembaringan. Dia merenung jam yang terletak di meja. Pukul sebelas malam. Perut yang terasa kosong mula berkeroncong mendendangkan lagu-lagu klasik India. Dia mengusap-ngusap perut yang terasa sedikit pedih. Lalu dibiarkan sahaja rasa yang kurang enak itu.
            Tiba-tiba dia teringatkan Eyreen. “Tak balik-balik lagi budak ni. Melampau betul!” Azman mengomel perlahan antara dengar dan tidak. Dia bangun menuju ke tingkap bilik, lalu dia meninjau keadaan di luar rumah. Melihat kalau-kalau Eyreen sudah balik. Sunyi sahaja keadaan di luar rumah. Hening dan tenang. Azman menikmati sebentar keindahan lewat malam itu. Bertemankan ingatannya kepada si manis Asyira, dia memintal senyum saat melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit malam. Sungguh indah Sang Bintang, sungguh misteri Sang bulan yang terdiam menghiasi kelam. Lama dia di situ, sehingga dia menguap beberapa kali.
 Azman ingin kembali ke katil. Baru beberapa langkah saja dia menapak, kedengaran enjin skuter Eyreen memasuki garaj rumah. Pantas saja Azman melangkah keluar dari biliknya. Cepat-cepat dia menuruni tangga dan melaju ke pintu depan. Eyreen masuk ke dalam rumah dan sedikit terkejut melihat Azman yang tercegat di ruang tamu.
“Eh…ada penyambut tetamu..heheheh…kau tunggu aku balik ke? Rindu ek?” Eyreen berseloroh selamba sambil berjalan ke dapur. Azman mengikutinya laju.
“Apa hal kau lewat? Pukul sebelas baru sampai rumah. Kau ingat rumah ni hotel.?”
“Man, aku tak larat la nak gaduh. Aku penat. Aku nak rehat.” Eyreen berlalu. Azman menyekatnya. Langkah Eyreen mati. Dekat, terlalu dekat badan Azman dengan badannya. Hampir bertembung perut dengan perut. Azman meniliti wajah Eyreen dengan pandangan bengisnya. Cun jugak budak ni…tapi sayang perangai macam jantan. Azman mengutuk di dalam hati. Eyreen menapak selangkah ke belakang.
“Kau ni kenapa hah? Aku tak cari pasal, kau cari pasal, nanti bila dah gaduh, kau mulalah nak jadi gila.” Eyreen menolak badan Azman ke tepi. Azman berkeras. Dia bertahan
“Apa hal kau tak pergi sekolah tadi?”
“Aku kerja. Sudahlah. Aku malas nak layan kau Azman, kang  gaduh pulak, nah ni pizza. Habiskan. Selamat malam.” Eyreen beredar selepas menyerahkan plastik yang mengandungi pizza itu kepada Azman. Azman terlopong.
“Esok aku nak kau pergi sekolah, kalau kau tak pergi juga….”
Langkah Eyreen mati dan dia berpatah balik.
“Kalau aku tak pergi, kenapa?” Dia tercegil di hadapan Azman.
“Tak nak jawab, fikirlah sendiri, kau kan budak bijak, tak payah pergi sekolah pun boleh dapat best student.” Azman beredar ke dapur, meninggalkan Eyreen yang terpinga-pinga. Lalu dia bergegas naik ke bilik. Perangai macam setan. Siot je ayat dia. Kerja nak sakitkan hati aku je. Jantan macam tu siapa la nak. Patut lah umur dah 24 tahun tak ada girl friend lagi. Berlagak. Azman setan! Eyreen menghempaskan pintu sekuat hati.
 Azman yang berada di dapur hanya membiarkan Eyreen menempiaskan kemarahannya yang sudah tak terkawal. Azman duduk dan mula mengadap pizza yang menyelerakan itu. Perutnya benar-benar lapar. Pedih, sakit dan nyilu rasanya. Memulas-mulas. Setelah menyelesaikan sebiji pizza sederhana besar itu. Azman kekenyangan. Dia berjalan ke ruang tamu. Matanya pula belum mengantuk. Dia asyik terpikirkan Cikgu Syira. Entah mengapa wajah Syira benar-benar mengusik ketenangannya. Dia mencapai sebuah buku yang berada di rak, kemudian berjalan perlahan ke ruang rehat. Dia duduk di kerusi kayu itu dengan tenang, sambil membuka helaian muka surat buku itu dengan perlahan. Dia mula membaca buku itu sambil menikmati angin lewat malam yang bertiup sayu. Seolah-olah faham akan perasaannya yang sendu tika ini. Jiwanya yang sangat rindu untuk menatap wajah cantik itu. Tidak sabar pulak menanti hari esok yang lebih gembira.
            Tiba-tiba dia terkenang kata-kata lembut si ayu itu tengahari tadi, sebelum waktu persekolahan tamat. Masih terbayang gayanya yang sopan santun ala-ala puteri gunung ledang. Sesungguhnya, payah mahu melenyapkan tingkah lembut si jelita itu. Sungguh payah. Hinggakan saban waktu dia mengingatinya.
“Ermmm…saya tak tau awak ni anak guru besar. Muka tak ada iras langsung.”
“Saya ikut arwah abah, hensem.” Saat itu Syira tersenyum malu. Menyembunyikan lebihan tawanya dan menyerlahkan mukanya yang kemerah-merahan.
“Esok boleh tak kalau lepas waktu sekolah kita keluar makan?”
 Syira agak terkejut. Wajahnya tiba-tiba serius. “Ermmm boleh…tapi ada syarat…”
“Apa dia?”
“Saya yang belanja..boleh?” Syira bersungguh-sungguh. Azman diam sebentar, berfikir. Kemudian dia menguntum senyum yang penuh makna.
“Okey..”
“Jumpe esok ye, saya balik dulu.” Syira mengatur langkah ke arah kereta. Lenggang tubuhnya masih segar di ingatan Azman. Sungguh menawan dan kerana janji-janji gadis itulah dia tak dapat melelapkan mata di malam yang panjang ini. Sungguh Azman tak pernah jatuh cinta. Tak pernah dia memikirkan soal cinta semasa di sekolah tinggi perguruan  dulu. Dia seorang yang skema. Hidupnya hanya belajar, belajar dan belajar. Kini dia mula merasai apa yang di rasai oleh kebanyakkan orang; C.I.N.T.A.
            Oleh kerana rasa cinta yang baru menjalar dalam urat darahnya ini, dia semakin teruja. Dia semakin bersemangat untuk meneruskan hari-harinya sebagai seorang guru di Sri Nada. Dia akan selalu bertemu muka dengan cikgu cun itu dan semakin hari akan semakin mesra harapnya. Apabila mesra sudah bertaut, hati masing-masing akan semakin dekat. Apabila semakin dekat, sayang dan kasih akan semakin kukuh. Apabila kekukuhan itu berlaku, jalinan yang lebih erat akan terjalin. Bertunang, kemudian bernikah. Wah…. sungguh indah cerita cinta yang di karang oleh otaknya tika ini. Oleh kerana cerita-cerita menarik beginilah rasa mengantuk terus hilang. Beterbangan bersama angin malam yang kian dingin.
            “ Aduh..”
            Tiba-tiba Azman menekan perutnya. Terasa seperti ada pisau yang menghiris usus-ususnya. Perit dan pedih. Azman meletakkan buku yang dibacanya ke atas meja kopi yang berada di hadapannya. Dia masih menekan perut yang kian menyucuk-nyucuk. Azman cuba duduk tegak, menahan nafas seketika. Kemudian menghembus keluar nafasnya dengan perlahan-lahan. Dia menarik semula nafas. Seketika sakit itu datang lagi. Dia menahan sakit yang mengundang secara mendadak itu. Semakin lama, semakin tidak tahan. Peluh-peluh terunanya mula menjengah dahinya yang licin bersih. Dia duduk bersandar. Dia dapat rasakan kesakitan itu reda sedikit. Dia memejamkan mata dan bersandar buat seketika. Sekali lagi dia menarik nafas dalam-dalam sambil cuba bangun. Lututnya menggigil dan longlai. Tangan dan kakinya mulai dingin. Azman hanya tersadai di situ buat beberapa ketika.
            Setelah lama kesakitan yang menyerang perutnya reda, kini datang pula senak yang berjuntai di ulu hatinya. Terasa begitu nyilu. Dia menekan dada. Cuba menarik nafas dalam-dalam, namun gagal. Seperti ada sesuatu yang menyekat saluran pernafasannya. Dalam menanggung rasa yang perit itu datang pulak rasa mual yang tiba-tiba menyerbu ruang tekaknya yang kian kering. Azman menelan liur beberapa kali. Dia cuba bangun, dalam payah, dia bergegas ke tandas. Belum sempat mengadap sinki, semua isi perutnya sudah keluar.
            Sekali isi perutnya tersembur keluar, lututnya sudah longlai. Kepalanya juga tiba-tiba menyengat. Dia pening. Ruang rumah yang suram berbalam itu bergoyang-goyang.
“Sial punya pizza…adui…” Azman merengek sendirian, di selang seli dengan caci makinya. Dia mengheret langkah yang kian lemah. Lalu dia mengerengkot di sofa dalam keadaan meniarap. Dia selesa begitu. Menekan perutnya yang terasa berkocak. Ususnya seakan-akan berpintal  membuatkannya mengerang kesakitan.
            Derita itu di tanggungnya seorang diri, hinggalah jarum jam melaju ke angka lima. Masuk yang ini, sudah enam kali Azman berlari ke toilet untuk memuntahkan isi perutnya yang kian berkurang, hinggalah kali yang tadi sudah tiada apa-apa lagi yang mahu di keluarkan. Hanya keluar air liur yang menambahkan lagi keperitannya. Pedih, sungguh pedih perutnya, dadanya yang terasa senak, kian bertambah senak.
            Akhirnya Azman tertidur di sofa kerana terlampau lemah.  Dia sudah tidak tahan menanggung sakit yang pelik itu. Dia cuba bertahan, namun bukan kudratnya lagi untuk berlari ulang alik ke toilet untuk semata-mata muntah. Dia lemah, longlai dan terasa mahu rebah. Dia terlentang di sofa. Dadanya turun naik secara perlahan, menggambarkan betapa perlahannya nadinya saat ini.
  
 9
            Pukul enam pagi Eyreen turun ke dapur. Dia benar-benar dahaga. Turun sahaja dari tangga dia terpijak sesuatu. Dia terjengket-jengket menuju ke suiz lampu. Lalu meninjau kesan melekit pada lantai yang baru dipijaknya.
“Muntah?  muntah siapa pula? Eyreen berlari ke toilet. Terasa geli tapak kakinya. Dia menolak pintu toilet yang berada berhampiran dapur. Eyreen terlopong apabila melihat beberapa tompok kesan muntah yang berada di lantai toilet. Eyreen segera membersihkan kakinya dan kesan muntah di lantai itu. Kemudian membersihkan pula kesan muntah berdekatan tangga.
“Siapa pula mengandung dalam rumah ni?” Eyreen mengomel sendirian. Selesai kerjanya, dia ke dapur, membuka pintu peti sejuk dan meneguk air mineral sepuasnya.
Pang….! Tiba-tiba Eyreen di kejutkan dengan bunyi pintu terhempas. Dia bergerak ke ruang tamu. Berdingkit-dingkit langkahnya menuju ke arah pintu ruang rehat yang terbuka luas. Pintu cermin hitam berbingkai kayu itu tidak ditutup sepeti biasa dan terhempas beberapa kali apabila ditiup angin pagi yang sejuk. Eyreen kehairanan. Dia segera menutup pintu itu dan menguncikannya.
            Dia ternampak Azman bterbaring di sofa. Dadanya turun naik dengan perlahan. Eyreen berlalu tanpa menghiraukannya. Dia menjaga langkahnya, takut-takut singa jantan itu terbangun. Nanti entah apa pula pergaduhan yang akan timbul. Seketika langkah Eyreen terhenti. Dia sekali lagi berpaling.  Azman nampak kaku di situ. Dia ni sakit ke? Muntah tu? Suara hati Eyreen berteka teki. Eyreen rasa tak sedap hati. Dia menghampiri tubuh Azman yang kelihatan lemah. Dia meneliti wajah Azman. Pucat.
“Ish.. kenapa dengan dia ni hah? Mati ke?” Eyreen takut-takut menggoncang bahu Azman.
Senyap.
“Man…Man…” Tiada jawapan. Azman hanya terbaring kaku. Sekali sekala dia mengerang sakit. Sah singa jantan ni sakit. Hati Eyreen membuat kesimpulan awal. Dia memberanikan diri meletakkan tapak tangannya di dahi Azman.
“Panas gila.” Eyreen hampir menjerit, lalu dengan segera dia berlari ke atas. Cemas, dia begitu cemas apabila melihat musuhnya yang hyperactive itu lemah sahaja.
            Eyreen mengetuk pintu bilik ibu. Seketika ibu membukanya. Ibu agak terkejut apabila melihat Eyreen begitu cemas.
“Ibu.. Azman ibu. Azman…”
“Kenapa? “ Ibu mencekak lengan Eyreen. Eyreen masih lagi tercungap-cungap.
“Azman sakit ibu…macam mana ni?”
“Mana dia?”
“Kat bawah, cepat ibu.” Eyreen menarik lengan ibu. Mereka bergegas ke bawah. Ibu mendapatkan Azman. Ibu melutut di lantai, meneliti wajah Azman yang pucat lesi. Ibu mengusap-ngusap dahi Azman.
“Man…sayang..bangun sayang..kenapa ni…?” Azman cuba membuka matanya. Tapi tak terdaya. Dia menekan perut yang masih sakit dan mengerang kesakitan.
“Ibu…sakit. Aduh…” Azman mengerekot kesakitan. Matanya terpejam rapat. Wajahnya berkerut.
Eyreen serba salah. Hatinya yang lembut itu mula tersentuh dan berasa kasihan melihat Azman yang berada dalam kesakitan. Dari raut wajah Azman yang pucat lesi itu, membuatkan Eyreen faham akan kesengsaraan yang ditanggung Azman.
“Reen…kita kena bawa Man pergi klinik ni.” Ibu mula memapah Azman yang separuh sedar. Eyreen membantu dengan sudah payah. Walaupun dendam kesumat masih bertahta kemas dihatinya buat lelaki ego itu, namun sikap prihatin dan kasihnya yang tinggi memangkinnya menghulurkan bantuan kepada Azman.
            Awal pagi, masa mereka bertiga dihabiskan di klinik Dr. Ahmad dan rakan-rakan. Azman disahkan keracunan makanan. Selesai menyuntik ubat dan menambah air nanti, Azman akan di benarkan pulang. Namun penantian yang terpaksa dilalui oleh ibu dan Eyreen amat panjang. Sebotol drip yang dimasukkan ke badan Azman mengambil masa yang agak lama. Azman di katil terlena lemah. Eyreen terlena di bahu Ibu. Ibu tersandar kerisauan sambil mengusap rambut Eyreen. Ibu memandang Azman yang terbaring. Mujur ada Eyreen, kalau tidak keadaan Azman mesti bertambah teruk. Kini ibu berasa tenang dengan adanya “anak perempuan” ini. Ibu dapat rasakan rumahnya lengkap dan sudah tidak sunyi seperti dulu.
Seketika Eyreen terjaga. Dia menggosok-gosok mata dan menguap luas.
“Ish..tutup mulut tu…” Arah ibu perlahan. Eyreen mengikut. Dia melentukkan kepalanya ke bahu ibu.
“Ibu..lambat lagi ke?”
“Kejap je lagi.”
“Kenapa dengan Azman tu ibu? Muntah-muntah..”
“Muntah?”
“Yelah, Reen bangun, nak minum, turun tangga, terpijak muntah dia, Reen pergi toilet nak cuci kaki, bersepah muntah dia ibu. Reen bersihkan, then tiba-tiba dengar pintu depan kena pukul angin, Reen pergi tutup pintu, time tu nampak dia tengah terbaring kat sofa. Kasihan dia kan!”
Ibu memaut kepala Eyreen rapat ke sisinya. “Dia salah makan tu..” Ibu cuba menenangkan perasaan sendiri.
“Ibu..sekolah macam mana? Dah lewat ni.” Eyreen merenung jam di dinding klinik.
“Entahlah, ibu ada masyuarat hari ni. Tengoklah macam mana nanti. “ Mereka diam seketika, serentak memandang ke arah Azman yang tiba-tiba sahaja bersuara antara dengar dan tidak. Ibu mendekatkan mukanya sambil menunggu.
 Azman mula membuka mata. Namun begitu dia masih lagi lemah. “Ibu, Man nak balik..”
Ibu mengusap rambut Azman, perlahan. “Yelah, nak balik la ni, kejap je lagi ya.”
“Man tak  nak duduk sini, nak rest kat rumah. Tak selesa lah ibu”
“Ya sayang, tunggu kejap, kan tengah tambah air tu. Bila dah habis kita baliklah.”
 Azman mengangguk perlahan sambil matanya kembali tertutup. Ibu memujuk Azman seperti memujuk budak berumur tiga tahun. Azman memang begitu, kalau sakit mengalahkan budak-budak. Manja dan mengada-mengada.
            Eyreen menahan tawa yang menjolok tekak. Mahu sahaja dia ketawa kuat di dalam klinik itu apabila melihat perangai Azman yang kebudak-budakkan. Merengek manja dan mengada-ngada. Alah, lempang je ibu. Mengada-ngada pula. Desak Eyreen di dalam hati. Meluat, memang meluat melihat Azman yang begitu manja. Memang nampak sangat Azman bukan seorang lelaki kuat. Dia tak pernah menempuh kesusahan, jarang-jarang sakit dan selalu bergantung pada orang lain.
            Berbeza benar dengan diri Eyreen. Dia seorang yang tabah. Boleh menghadapi saat kesusahan dan kesakitan seorang diri tanpa merengek pada sesiapa pun. Dia tak hairan sekalipun tidak menjamah nasi selama seminggu. Dia tak hairan kalau setakat muntah dua tiga kali begitu. Selama hidupnya di muka bumi ini, tak pernah Eyreen merasa benar-benar senang. Namun kini kehidupannya berubah hari demi hari menuju ke arah yang lebih bagus. Tambahan pula, kini Eyreen benar-benar gembira dengan kehadiran ibu dalam hidupnya. Walaupun ibu cuma seorang guru besar dan tuan rumah baginya tapi Eyreen merasai ibu lebih daripada itu. Dia berasa seakan-akan ibu adalah ibu kandungnya, yang telah mengandungkannya dan melahirkannya. Kini jiwanya berbunga-bunga dengan kehadiran Ibu.


10
            Tubuh Azman yang lemah itu hanya berpaut pada tubuhnya yang kian condong.  Beratnya jantan ni, adoi…! Eyreen merungut rimas. Tangan Azman yang berada di atas lehernya dirasakan seperti sebatang balak. Tubuh Azman yang terpaksa dipapahnya terasa bagai membimbit berkampit-kampit simen. Ibu berjalan pantas ke arah kereta. Pintu kereta dibuka luas. Eyreen menolong Azman masuk ke dalam. Direbahkan kusyen depan yang berada di sebelah pemandu.
Eyreen menutup pintu depan dan bergerak ke belakang. Pintu kereta dibuka dan dia duduk di belakang tanpa bercakap. Lalu kereta MPV mewah bewarna hitam itu melunjur laju menuju ke rumah yang hanya dua ratus meter dari situ.
            Azman hanya berdiam diri. Ibu memandu perlahan. Sesekali dia memandang ke arah Azman yang tersandar lemah.
“Man ok?” Tanyanya.
Azman menggangguk lemah, seketika dia gagahi diri untuk bangun, mencapai teddy bear kecil yang berada di dashboard dan membaling ke arah Eyreen yang sedang tersandar tenang.  
Eyreen bingkas bangun. “Woi, apa hal kau ni?”
“Sebab pizza kau tulah aku separuh mati kau tau tak?”
“Eh, pizza tu elok lagi la.”
“Elok kepala hotak kau.” Azman bersuara agak kuat berbanding tadi. Dia terasa seperti ada sedikit tenaga di dalam badannya. Rasa geramnya pada Eyreen hanya Tuhan yang tahu. Kerana melahap pizza yang dibawa balik oleh Eyreen, dia terpaksa melalui kesakitan yang amat sangat. Ibu hanya memandu tanpa menghiraukan mereka. Dia sendiri serba salah dan tidak tahu mahu menyebelahi sesiapa.
“Kalau aku tak makan, tak jadi macam ni tau.”
“Man…benda dah nak jadi. Tak ada siapa-siapa pun yang salah” Ibu melihat wajah Eyreen menerusi cermin hadapan. Wajah licin putih kekuningan itu agak suram. Mungkin berkecil hati dengan tuduhan Azman.
“ Semalam budak sengal ni bawak balik pizza basi, sebab tu Man jadi macam ni.”
“Mana ada basi. Tipulah kau.” Eyreen menampar bahu Azman sekuat hati. Azman mengelak. Ibu terdiam dan hanya menggelengkan kepala. Kereta sudah masuk ke perkarangan rumah. Ibu memberhentikan kereta. Kemudian dia turun dan terus masuk ke dalam rumah. Malas dia mahu melayan kerenah Azman dan Eyreen yang merimaskan itu. Eyreen turun, Azman dengan susah payah turun dengan sendirinya. Dia merenung tajam ke arah Eyreen yang benar-benar menyakitkan hati.
“Dengan boxer ni kau pergi klinik? Memang kau ni perempuan tak tau malu la.” Azman memandang Eyreen atas bawah, atas bawah.
Eyreen selamba sahaja. Bersandar di kereta sambil mendakap tubuhnya sendiri. “Kenapa? Ada masalah?”
“Ey..  kau ingat kau artis? Kau ingat kau cantik, kurus macam model, aku hairan ke? Tayang body sana sini. Kalau lawa tak apa juga. Buat aku bertambah mual je.”
“Woi…bodoh, sebab kaulah aku keluar rumah pakai boxer tau”
“Eh..sebab aku pula?” Azman tercegil.
“Sebab tu aku panggil kau bodoh. Kau memang bodoh, ada otak tak pakai, simpan buat semak kepala je..” Eyreen menunjal kepala Azman. Azman menepisnya.
“Eh sebab kaulah aku terlepas first date aku tau?” Azman semakin menggila. Geram melihat Eyreen yang tak mahu mengalah. Benci, sesungguhnya dia amat bencikan perempuan “jantan” ini. Meluat, sungguh meluat.
“Eh, kat bilik kau tak ada cermin ke? Suluh muka kau tu, perempuan mana yang nak?”
“Sekurang- kurangnya perempuan yang nak aku tu tak adalah macam kau, perangai jantan.” Azman tak mahu mengalah.
“Kau tu macam perempuan. Sakit sikit merengek, manja.Mengada” Bidas Eyreen.
“Ey… kau ni kan…memang menguji kesabaran akulah…. Bawa balik pizza reject bagi aku makan. Tengok apa dah jadi kat aku?”
“Eh..pizza kat kedai tu, tak pernah basi tau. Dua hari pun tahan lagi. Kau tu yang mengada. Manja.”
“Kau ni memang suka melawan kan? Meman hobi kau bergaduh ke hah?” Azman menekan perutnya yang terasa sedikit nyilu.
“Kau yang mula kan? Aku diam je tadi dalam kereta, siapa suruh kau baling aku dengan teddy bear bodoh tuh.?” Eyreen membuka pintu kereta, dia mencapai teddy bear tadi, lalu di baling ke muka Azman. Azman tak sempat menepis. Lalu terkena mukanya.
            Kemarahan Azman tak terbendung. Sikap melawan Eyreen membuatkan dirinya bertambah panas. Eyreen masih berani tercegat di hadapannya. Dada Azman turun naik menahan baran yang datang tiba-tiba.
“Apa, kau buat muka macam tu ingat aku takut? Tak kenang budi punya orang.”
“Setakat bawak balik pizza beracun macam tu, tak adanya siapa nak kenang budi kau lah.”
“Kau tu buta hatilah. Aku yang cuci muntah kau yang bersepah tu tau. Muntah bersepah-sepah, pengotor. Dah badan tu berat macam batu. Aku yang penat papah kau ni, kau maki hamun. Fikir ar..” Eyreen menjerit kuat.
Azman memejamkan mata. Dia terdiam sekejap. Dia agak terkejut mendengar kata-kata Eyreen. Namun, keegoannya yang tinggi  membuatkannya menjadi seorang manusia yang keras hati. Dia tak pedulikan kata-kata Eyreen. Untuk menampung malu yang menempek di muka, Azman mencari salah Eyreen yang lain.
“Aku nak tumpang tanya, ada ke aku suruh kau buat semua tu?” Azman menjenguk dekat dengan muka Eyreen. Hampir bertembung hidung dengan hidung.
 Eyreen terlalu geram dengan soalan itu. Dengan segera, dia mengangkat kaki lalu menghumbankan satu pijakan padu ke atas kaki Azman. Sesaat kemudian dia cepat-cepat melarikan diri ke dalam rumah. Dapat didengari pekikan Azman yang kuat kerana bahana pijakannya. Hahahahhaha padan muka, berlagak.

  
11
Selesai menyediakan sarapan dan memberikan ubat untuk Azman, ibu dan Eyreen bertolak ke sekolah.  Eyreen menumpang ibu manakala Azman berehat di rumah.
“Reen…kenapa ni?” Eyreen yang diam dan termenung membuatkan ibu sedikit risau.
“Tak ada apa-apa lah.” Eyreen tersenyum lebar ke arah ibu.
Ibu serba salah. Sebagai seorang ibu, dia tahu hati gadis lincah ini sedikit terguris dengan kelakuan Azman yang langsung tak pandai berterima kasih. Dia tahu Eyreen seorang gadis yang baik, bertanggungjawab, prihatin tentang orang lain dan amat kaya dengan sifat kasih di hatinya. Azman saja yang tak pernah mengkaji semua itu.
“Reen, ibu minta maaf bagi pihak Man…dia tak patut buat gitu… ”
“Ibu, apa ibu cakap ni? Tak ada apa-apa lah…” Eyreen tersenyum sahaja.
“Azman tu Reen, nampak je keras hati, tapi sebenarnya dia okey, Cuma dia tak ada sensor tentang perasaan perempuan ni. Apa yang ditengok itulah yang dia fikir. Dia tengok perempuan yang nampak sopan, baik, itulah yang dia fikir tentang perempuan tu. Kalau dia tengok perempuan tu, pakai pelik-pelik, seksi, dia akan terus fikir yang perempuan tu jahat…”
“Apa ni ibu belit-belit, tak faham la…” Eyreen menggaru-garu kepalanya yang memang kebetulan pada waktu itu berasa gatal.
“Ish budak ni, macam ni, contohnya dia tengok kamu macam ni..dia fikir kamu ni jahat, perempuan yang tak tau masak, tak tau mengemas. Dia suka judge orang dari luaran. Sebab dia jarang bergaul dengan perempuan. Skema. Kamu tau skema?”
“Hahahha…lantak dialah ibu. Janji ibu okey dengan Reen. Ibu kenal Reen.”
“Tapi Reen, ibu risau sangat, Man tu tengah angau tu…”
“Dengan siapa?” Eyreen betul-betul berminat.
“Cikgu Asyira…” Eyreen senyum senget setelah mendengar nama itu.
“Cikgu kaunseling tu ke?”
Ibu mengangguk perlahan. Garis - garis risau mula menjalar ke seluruh wajah insan yang bergelar ibu ini.
Eyreen juga terdiam dan secara tiba-tiba wajah cikgu muda jelita itu terbayang-bayang di layar mata. Terbayang wajah mulus putih kemerah-merahan itu. Bibirnya yang nipis dan menawan. Matanya bulat dan bertambah galak dengan palitan celak yang hitam pekat, bulu matanya panjang-panjang, hidungnya kecil saja, badannya genit dan selalu mengenakan kebaya pendek dengan kain batik panjang. Berkasut tinggi dan lenggangnya yang ayu itu tak membosankan. Dia selalu berselendang panjang, dan dibelit menjadi tudung yang sempurna. Memang jelita, cantik dan menawan.
            Kini baru Eyreen tahu. Rupa-rupanya selera Azman terlalu tinggi. Dia gemarkan gadis yang ayu, yang lemah lembut dan sopan. Patutlah dia sering menjadi caci maki Azman. Penampilannya yang ranggi, sempoi dan simple itu membuatkan lelaki seperti Azman menyampah dan muak. Tetapi bagi lelaki seperti Tengku, dia amat sukakan perempuan yang ringkas seperti Eyreen. Hanya berjeans, t-shirt dan selipar jamban sahaja sudah membuatkan Eyreen kelihatan cantik di matanya. Kelakuan Eyreen yang kasar, percakapan Eyreen yang tidak bertapis, dan perangai Eyreen yang menghiburkan membuatkan lelaki seperti Tengku terpesona. Terpesona dengan kejujuran Eyreen mempamerkan dirinya dan kemuliaan hati Eyreen yang sukar untuk di mengerti.
 Eyreen tersenyum apabila mengenangkan cikgu Syira yang di gelar “Minah control” oleh kebanyakan pelajar. Dia masih ingat bagaimana cikgu itu menasihatinya semasa terserempaknya di kantin sekolah.
“Kamu Eyreen kan?”
Tiba-tiba langkah Eyreen dipintas oleh cikgu Syira. Eyreen diam sahaja. Matanya berkelip-kelip melihat kelibat Syira atas bawah, atas bawah.
“Kenapa tiap-tipa kali ada temu janji dengan saya kamu tak pernah datang?” Saat itu wajah Eyreen serius dan menunjukkan riak-riak kebosanan yang teramat sangat.
“Malas…” Jawab Eyreen pendek.
“Kalau kamu buat perangai macam ni, sampai bila nak maju, sampai bila kamu nak berjaya?”
“Saya dah maju lah, hampir berjaya dah pun..” Eyreen mengulum tawa yang datang secara tiba-tiba menjolok-jolok tekak apabila melihat wajah “cikgu control” itu secara dekat. Hampir dua kilo bedak ditampalkan ke muka bertujuan untuk menutup cela di wajahnya. Bulu mata palsu yang tebal tertampal di kelopak mata dan kedudukannya agak senget sedikit. Pewarna mata yang kebiru-biruan mengikut warna baju terpalit tebal hingga ke bawah kening. Kanta sentuh yang bewarna kelabu melengkapkan solekannya. Pemerah pipi yang kelihatan seperti ditampal di pipi dan lipstick warna pink yang berkilat membuatkan mukanya yang cantik itu seperti ahli sihir.
“Kalau kamu terus menerus macam ni Reen, masa depan kamu akan musnah. Tak ada lelaki yang akan pandang kamu, kalau kamu kasar dan selalu buat masalah macam ni. Jangan cakap posmen, tukang kebun pun takkan pandang  kamu nanti.” Kata-kata Cikgu Asyira menyebabkan darah Eyreen tiba-tiba sahaja menggelegak hebat. Wajah Eyreen yang putih licin itu bertukar kemerah-merahan. Dia senyum sinis.
“Jadi cikgu nak suruh saya pergi bilik kaunseling tu untuk belajar  jadi perempuan control macam cikgu? Cikgu nak buka kelas mekap ke kat situ? Kelas mekap badut-badut sedunia.hahaha, baik saya tengok tutorial mekap kat You Tube je cikgu, ”
 Asyira terlopong. Dia membetul-betulkan tudungnya sebelum beredar dengan segera.
            Hingga saat ini Eyreen masih belum berjumpa dengan Asyira untuk sesi temujanji itu. Kini Azman sudah jatuh hati pada Asyira, kebetulan Azman merupakan musuhnya yang memeranginya dari aspek yang sama. Oleh itu, Eyreen harus berhati-hati dengan pasangan kekasih itu. Sudah semestinya Asyira akan mempergunakan Azman untuk melunaskan dendamnya terhadap Eyreen. Itu sememangnya sudah pasti.
            “Eyreen…turun cepat, kamu tak mau masuk kelas ke?” Suara ibu yang agak lantang itu membuatkan bayangan wajah Asyira dan Azman lenyap bagaikan gumpulan asap yang berterbangan ke udara. Eyreen turun dan bergegas ke kelas
           Di rumah, Azman mundar mandir tak keruan. Dia teringatkan pelajar-pelajarnya, teringatkan tugasnya sebagai seorang guru yang baru sahaja bermula. Kalau bukan kerana Eyreen yang sengal itu, tentu kini dia sedang berada di sekolah dan menjalankan tugasnya dengan penuh minat. Azman berjalan menuju ke ruang tamu. Dia menekan perut yang masih sakit. Dia baring sambil terkenangkan kata-kata Eyreen. Eyreen yang sengal itu membersihkan muntahnya? Malu, sungguh malu. Kini dia terhutang budi dengan Eyreen dan dia berusaha melupakan jasa baik gadis kasar itu. Biarlah ianya jadi kenangan pahit yang membuatkannya serba salah terhadap musuhnya Eyreen.
  
12
            Ibu bergegas pulang selepas menurunkan Eyreen. Dia amat risaukan Azman yang keseorangan di rumah. Terbayang-bayang di mata ibu wajah Azman yang kesakitan pagi tadi.
“Assalamualaikum…” Ibu masuk ke dalam rumah. Matanya terus tertumpu pada anak terunanya yang sedang terbaring di sofa sambil menonton. Dia mencari alat kawalan jauh dan menutup televisyen.
Azman bangun bersandar di sofa.
 Ibu duduk di sisi Azman, membiarkan Azman melentokkan kepala ke bahunya, manja.
“Sayang dah okey ke belum ni?” Ibu mengusap pipi Azman dengan penuh kasih sayang. Dia melayan Azman seperti Azman masih berumur lima tahun. Azman juga merelakan dirinya di belai seperti kanak-kanak.
“Lapar…”
“Kejap lagi ibu masak..”
“Lapar sangat dah ni…” Azman menggosok-gosok perut.
“Man sabar jap. Ibu ada cerita panas untuk Man. Tahu tak kat sekolah tadi ramai cikgu yang  tak datang, sebab keracunan makanan. Ibu rasa  Man pun keracunan sebab makan kat kafe tu la.”
Azman terdiam setelah mendengar kata-kata ibu. “Ibu nak bela Eyreen la tu? Lepas tu ibu create cerita?”
“Kalau tak percaya sudah, esok Man pergi sekolah, Man tanya sendiri.”
“Tak lah ibu..Man keracunan sebab makan pizza basi tulah…”
Ibu menolak Azman ke tepi, dia bangun meninggalkan Azman.
“Lain kali jangan main tuduh-tuduh, kalau tak ada bukti…dan satu lagi, Man jangan buat perangai macam pagi tadi lagi, risau ibu tau…”
“Ish, dah betul-betul sakit ibu…”
“Taulah sakit, tahan lah sikit, buat malu je…”
“Ibu tak paham,entah apa yang budak tu taruk dalam pizza tu, ni kes balas dendam la ni.”
“Ibu tahu bukan sebab pizza tu lah..ibu pasti..Man jangan nak tuduh-tuduh.”
“Habis tu? Macam mana ni?” Azman menarik tangan ibunya..
“Habis macam mana pula?” Ibu tersenyum simpul, penuh makna. Sambil melangkah ke atas dia bersuara lantang.
 “Apa lagi minta maaflah daripada Eyreen…senang cerita.”
Azman terpanah dengan kata-kata ibu. Sedikit sebanyak dia dapat rasakan bahawa kasih ibunya terhadap Eyreen terlalu dalam. Bala, memang bala. Dia tak akan minta maaf daripada Eyreen walaupun dia sedar kini Eyreen memang tidak bersalah. Walaupun dia semakin redha Eyreen tinggal sebumbung dengannya, namun jauh di sudut hatinya dia masih terkenang perbuatan Eyreen dan masih terngiyang-ngiyang di telinganya akan kata-kata Eyreen yang bisa itu.
            Tengahari itu, Azman makan dengan kenyangnya walaupun perutnya masih meragam. Selesai makan tengahari bersama ibu, dia menelan ubat dan berehat di bilik  hingga ke petang. Ibu keluar berjalan-jalan dengan kawan-kawan lama. Menghabiskan masa yang terluang di waktu petang itu dengan membeli belah. Eyreen seperti biasa, pulang saja dari sekolah dia akan bergegas ke restauran untuk menolong Tengku menguruskan restauran.

            Hari ini pelangan terlalu ramai. Seorang pekerja cuti sakit. Ini bermakna Eyreen akan melaksanakan kerja-kerja yang terbengkalai. Tengku juga turun padang membantu anak buahnya tanpa berkira tenaga. Demi memajukan restauran itu, dia sanggup mengenepikan makan dan minum, Dia lebih rela menanggung penat daripada melihat restauran itu tak terurus dan lengang tanpa pelanggan.
“Woi makan dulu, dah pukul lima petang ni.” Eyreen membawa sepinggan spageti lalu di letakkan di atas meja. Waktu itu restauran lengang sebentar. Saat inilah dia dan Tengku selalunya berebut-rebut untuk mengisi perut.
“Makanlah, abang tak ada selera. Penat.” Tengku duduk di kerusi bersebelahan Eyreen. Dia kelihatan sedikit cengkung berbanding minggu lepas. Tengku terlampau mementingkan kerjayanya sehingga kesihatannya selalu di abaikan. Dia sudah terlalu taksub dengan restauran itu. Restauran itulah nyawanya, isterinya dan juga anaknya. Tujuh puluh peratus masanya seharian di habiskan di restauran itu. Kalau balik ke rumah pun Tengku hanya akan bertambah bosan dan tertekan kerana tidak ada apa yang mahu dilakukan. Jika di restauran, Tengku akan rasa sibuk dan masanya terisi dengan kerja-kerja yang tak pernah habis. Walaupun begitu, dia tetap berasa seronok dan puas kerana dapat menguruskan restauran tanpa menyusahkan sesiapa pun.
“Jamahlah sikit, nah ..”Eyreen menyudukan spageti itu dan mahu menyuap Tengku, Tengku menggeleng.
“Aku tak nak, kau makanlah…aduh, tengok tu…tumpah dah..” Suara Tengku agak tinggi.
“Alah, sikit je, kejap lagi Reen laplah. Bebel je abang ni.” Eyreen membawa sudu itu ke mulutnya. Lalu dia melahap spageti itu kemudian di susuli dengan beberapa suapan lagi.
“Kau tu cakap je nak lap, kejap lagi kau buat-buat lupa, lepas tu kau terus balik, macam aku tak tau taktik kau. “ Tengku bangun mencapai tuala yang berada berdekatan kaunter lalu mengelap kuah spageti yang tertumpah.
Eyreen hanya melihat kelakuan Tengku. Tengku memang cerewet dan pembersih. Tetapi kadang-kadang dia terlampau pembersih hingga merimaskan Eyreen. Ada sahaja yang tak kena, ada saja yang perlu di bersihkan, ada saja yang kotor.
“Orang tengah makan ni, abang tak nampak ke..? Dia ni..bukanya boleh kotor sikit, nyampah aku.” Eyreen meninggalkan pinggan spageti. Dia berjalan laju-laju keluar.  Tiba-tiba sahaja dia jadi berang. Entah kenapa dua tiga hari ini cepat sahaja hatinya jadi panas. Eyreen bersandar di dinding restauran, mengeluarkan kotak rokok dari poket seluarnya lalu menyalakan sebatang rokok. Seketika Tengku datang menghampirinya.
“Kenapa ni?”
“Tak ada apa-apalah.” Jawab Eyreen kasar.
“Kau jangan tipulah..aku ni dah tua, banyak makan garam dah.”
“Alah..main garam-garam pulak, tak ada apalah..” Eyreen diam seketika. Dia sendiri cuba untuk mengenal pasti apakah masalahnya yang sebenar. Hinggakan jiwanya berkocak begini. Hinggakan ketenangannya seolah-olah diragut dengan kejam.
“Reen marahkan abang ke? Sorrylah…” Tengku menggenggam bahu Eyreen kemas. Merenung  mata Eyreen yang penuh dengan rajuk.
“Aku tak tau lah…kat mana aku duduk, apa yang aku buat, apa yang aku cakap, semua tak kena…aku makan salah, aku cakap salah, aku buat apa semua tak betul. Tekananlah macam ni.” Tiba-tiba sahaja Eyreen bersuara, lalu dia menyedut rokok yang tersepit di bibirnya. Di hembuskan asap rokok itu rakus.
Tengku terdiam. “Kau dah besar Reen, marah lah, argue lah puas-puas.” Tengku seolah-olah merajuk. Dia mengatur langkah mahu meninggalkan Eyreen. Eyreen menyambar lengannya dengan pantas. Dia tersentak.
“Abang…”
Langkah Tengku mati.
“Reen…Reen..”
Eyreen membuang puntung rokok yang masih ada separuh lagi. Dia melupakan sebentar kenikmatan  rokok itu. Kali ini di fikirannya, hanya Tengku. Dia tahu Tengku terasa dengan kata-katanya.
“Reen bukan marahkan abang. Reen cuma..tak puas hati dengan anak tuan rumah tu…dia selalu cari pasal, tuduh Reen itu ini..Reen…”
“Jangan samakan aku dengan lelaki lain sebab aku menilai kau lain dari yang lain..” Tengku kelihatan agak serius berbanding tadi.
 Eyreen melepaskan genggaman tangannya pada lengan Tengku. Dia tertunduk takut. Takut, ye dia memang takutkan Tengku yang tegas itu. Dia serik kerana sudah beberapa kali di marahi Tengku. Kemudian mereka akan berbaik semula. Tetapi kali ini Tengku kelihatan agak marah.
Eyreen sendiri buntu bagaimana mahu memujuk Tengku yang kuat merajuk itu. Tengku akan merajuk berhari-hari. Selagi tidak di pujuk bermakna tiadalah peluang untuk dirinya mendekati Tengku. Tengku hanya akan pura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku, tetapi jangan harap Tengku akan bercakap dengan orang yang telah membuat dirinya merajuk. Eyreen semakin tertekan.


13
           
            Azman pula tertekan dengan desakan ibu. Dia dipaksa untuk memohon maaf daripada Eyreen. Jika tidak berbuat begitu secara persendirian, ibu mahu dia memohon maaf di hadapan ibu pada esok pagi. Daripada memalukan muka sendiri di hadapan ibu, lebih baik dia menanti Eyreen pulang dan memohon maaf secara persendirian tanpa bersaksikan ibu yang sememangnya menyebelahi Eyreen.
            Namun setelah berjam-jam menanti Eyreen, Azman mula berasa bosan. Dia mula disapa kata-kata hati yang jahat. Dia mula memikirkan air mukanya yang bakal jatuh sebentar lagi kerana terpaksa memohon maaf daripada insan yang dibencinya. Tentu si kasar itu akan terkekeh-kekeh gelakkannya kerana telah berjaya meraih kemenangan tanpa hadiah. Sungguh memalukan bagi Azman. Sesungguhnya dia tak pernah mengalah dalam apa jua perlawanan, termasuklah perlawanan tanpa faedah di antaranya dan Eyreen. Namun, dia bertekad untuk memohon maaf sepintas lalu sahaja, memohon maaf ala kadar sahaja dan terus beredar untuk menghalang rasa malu. Azman telah bertekad dengan bersungguh-sungguh. Selepas ini dia tak akan mempedulikan Eyreen lagi. Biarlah Eyreen dengan dunianya yang haru biru itu, dan dia dengan dunianya yang bakal meraih kebahagiaan bersama Asyira.
            Beberapa ketika kemudian, Azman terdengar enjin skuter Eyreen menghampiri kawasan rumah. Azman bangun dan bersiap sedia untuk berdepan dengan Eyreen.
Eyreen menolak pintu, lalu masuk ke dalam dengan perlahan. Seketika dia tersentak dengan kehadiran Azman secara tiba-tiba di hadapannya. Tanpa menghiraukan Azman, Eyreen mengatur langkah laju menuju ke tangga.
“Woi kejap, aku ada hal nak cakap dengan kau.” Azman bersuara dalam keterpaksaan.
 Eyreen menghentikan langkahnya dan berpatah balik menghampiri Azman.
“Apa dia? Cepatlah aku penat ni..”   
“Aku…aku…” Anak mata Azman berkeliaran. Dia menahan malu yang bergetar dahsyat apabila terpaksa berdepan dengan wajah si kurus kering di depannya ini untuk memohon maaf. Dia malu mahu menatap mata Eyreen yang tertancap tepat ke wajahnya tika ini. Bagaimanakah dia harus memohon maaf daripada si kasar ini? Sesungguhnya dia amat benci, amat meluat pada Eyreen.
“Ey, kau kalau nak main-main, aku tak ada masa nak layan kau, aku penat, aku nak tidur.” Eyreen bergerak meninggalkan Azman yang serba salah. Lantas Azman memegang lengannya.
“Kejaplah aku nak cakap something ni.”
 Eyreen berusaha melucutkan genggaman Azman pada lengannya yang kurus itu. Apahal la Mamat ni. Sakit gila tangan aku. Adoi... Hati Eyreen bersuara. Pelik dengan tindakan Azman.
“Ehhh kau ni kenapa hah? Nak rogol aku ke apa ni?” Eyreen berusaha melepaskan genggaman Azman pada lengannya. Akhirnya berjaya.
“Eh muka macam kau, aku tak ada nafsulah.” Azman menunjal dahi Eyreen.
“Habis tu, yang tanggu aku balik lewat-lewat malam, lepas tu tarik-tarik tangan aku ni kenapa?”
 Azman bertambah berang apabila kata-kata kasar Eyreen menusuk cuping telinganya.
“Aku nak minta maaf lah perempuan bodoh” Azman menengking.
“Ey, yang bodoh tu kau. Apa hal aku pula yang bodoh, sebodoh-bodoh aku pun, aku tak kacau orang. Kau tu bukan je bodoh, gila…”
“Kau panggil aku gila! Berani kau ek?”
“Apa hal aku nak takut pulak”
“Ey.. boleh tak kau hormat aku sikit?”
“Apa hal aku nak kena hormat orang gila macam kau ni?”
“Ok, fine..mulai sekarang, kau buat hal kau, aku buat hal aku..aku takkan ambik tau lagi hal kau.”
“Selama ni pun, memang aku tak pernah kacau kau lah, kau je yang selalu sibuk hal aku.” Eyreen separuh menjerit. Sesungguhnya dia amat tertekan dengan sikap Azman yang berlagak dan ego itu. Entah apa sebabnya Azman menunggu kepulangannya semata-mata mahu bergaduh.
Seketika Azman terdiam. Dadanya turun naik, turun naik menahan marah yang bersarang di dada.
“Hujung bulan ni aku blah dari sini, kau tak payah lah nak risau, aku faham bahasalah, yang kau tu memang tak suka aku tinggal kat sini.”
“Baguslah kalau kau faham. Aku harap sangat kau blah dari sini. Sejak kau ada kat sini, aku rasa macam aku dah tak ada rumah. Aku rasa aku ni duk kat rumah orang gila. Asyik tengok muka kau yang tak cantik tu. Menyampah tau tak?
 Eyreen terdiam, Tiba-tiba sahaja mukanya terasa seperti disimbah dengan air panas. Terasa menggelegak darahnya hingga naik ke otak. Lelaki yang berada di hadapannya kini, kelihatan kecil besar, kecil besar. Eyreen menarik nafas dalam-dalam. Cuba menahan marah yang kian memuncak. Eyreen menghampiri Azman, dia mendekatkan mukanya dengan muka Azman hingga hampir bertembung hidung dengan hidung.
“Aku tau lah aku tak cantik, tapi kalau setakat cantik dengan tampal bedak tebal-tebal buat apa? Perempuan macam tu kau suka pula kan? Yang pakai bulu mata palsu, sumua palsu..kau suka sangat kan minah control? Baguslah, sesuailah dengan kau yang gila ni..” Eyreen tersenyum sinis sambil beredar.
 Azman terdiam dan terkebil-kebil memikirkan siapa sebenarnya yang di maksudkan oleh Eyreen.
Eyreen berjalan menaiki tangga sambil ketawa.  “Hah hah hah…sangat sesuai, bagai aur dan tebing…” Eyreen saja main-main begitu, niat hatinya memang mahu menyakitkan hati Azman. Kemudian kelibat Eyreen hilang di balik pintu bilik. Suara yang menyakitkan hati itu terus lenyap.
 Azman duduk diam di atas sofa. Dia berfikir maksud di sebalik kata-kata Eyreen. Minah control? Kat bilik Kaunseling? Hati Azman berbicara perlahan. Apabila berkata-kata tentang bilik kaunseling, tiba-tiba wajah Asyira terpampang di layar ingatannya.
“Sial Eyreen..kau kutuk Syira rupanya..” Azman baru dapat menangkap kata-kata Eyreen. Rugi sungguh si kasar itu telah masuk ke dalam bilik. Kalaulah kau masih kat sini kau kenallah siapa aku. Azman menggomel di dalam hati.
            Kejadian malam itu benar-benar membuatkan Azman tak boleh tidur lena. Entah mengapa, sejak Eyreen berada di sini, lenanya telah terganggu, tidurnya telah hilang enaknya. Dia asyik terfikirkan Eyreen, terfikirkan kelakuannya yang pelik, terfikirkan kata-katanya yang berbisa. Sungguh menyakitkan hati, sunguh membuatkan jiwanya parah. Memang dia pernah cuba lupakan Eyreen dan bertekad tidak mahu mengambil tahu lagi akan urusan gadis itu, tetapi, setiap kali dia bertekad begitu, setiap kali itulah dia gagal. Sesungguhnya penangan gadis kasar itu amat berbisa. Namun Mengenangkan kejelitaan Asyira sedikit sebanyak membuatkan Azman tenang. Rasa tidak sabar untuk bertemu gadis itu menunjal-nunjal dada terunanya kini. Sejak kebelakangan ini, dia selalu terfikirkan Asyira. Di dalam otaknya, nama Eyreen dan Asyira bertukar ganti. Seorang menenangkannya dan seorang lagi menyakitkan hati.

  
14
Rasa yang sama telah menular di jiwa Asyira. Malah semakin hari kian parah rasanya. Sejak bertemu insan bernama Azman di bilik kaunseling minggu lalu, perasaannya kian bergolak, kian tak keruan. Wajah Azman selalu sahaja bermain di ruang mata. Selalu sahaja membuatkannya tak senang duduk, tak lena tidur dan tak lalu makan. Syira akui, dia sudah mempunyai kekasih. Dia sudah pun menyerahkan hatinya kepada seorang lelaki. Namun kehadiran Azman benar-benar mengusik hatinya dan membuatkan jiwanya bergoncang. Pengalaman putus tunang sebanyak dua kali amat memeritkan. Dia akui, dia seorang yang memilih, seorang yang cerewet tentang pasangan hidup dan dia amat teliti dalam mencari pasangan. Dia mahukan pemuda yang sempurna, yang bekerjaya, yang bergaya dan yang paling utama, lelaki itu haruslah berasal dari keluarga yang senang. Tidak dinafikan dia merupakan seorang yang menitik beratkan hal-hal kewangan. Dia tidak mahu sejarah yang menimpa kakak-kakaknya berulang. Dia tidak mahu menderita selepas bergelar seorang isteri.
            Asyira berasal dari kampung, dia anak ketiga dari tiga adik beradik perempuan. Dua kakaknya telah berkahwin dan masing-masing hanya menghabiskan masa di rumah, menjadi suri rumah sepenuh masa selepas berkahwin. Dia telah jemu melihat kesusahan kakak-kakaknya yang selalu sahaja menagih simpati sanak saudara, dan dia juga tidak terkecuali menjadi mangsa akibat kehidupan kakak-kakaknya yang pincang itu. Semasa di sekolah tinggi perguruan, separuh duit pinjamannya telah di habiskan untuk membantu kakak-kakaknya yang kesempitan wang. Suami mereka hanya kerja biasa-biasa sahaja, dan wujudlah masalah-masalah lain akibat kesempitan wang. Akibat dari kesusahan dan pengalaman ngeri itu, Syira bertekad mahu bekerja dan mempunyai kerjaya sendiri. Apabila dia telah mengharungi kesusahan dan kepayahan itu, dia menjadi serik dan benci kepada lelaki-lelaki yang tidak bekerja tetap. Tambahan pula lelaki yang bekerja ala kadar sahaja, tetapi bercita-cita mahu berkahwin dan punyai anak-anak. Semua ini hanya akan menyusahkan orang lain.
            Sejak itu, Syira tidak memandang lagi lelaki-lelaki sengket. Dia menjadi mata duitan dan bercita-cita mahu menjadi isteri kepada lelaki kaya. Lelaki yang mempunyai kereta mewah, rumah besar dan berasal dari keturunan yang kaya. Semua ini bukanlah untuk dirinya sahaja. Dia juga memikirkan perihal keluarganya yang telah banyak menanggung kepayahan akibat dari perkahwinan kakak-kakaknya yang punyai banyak masalah.
            Oleh kerana itu, Syira telah putus tunang sebanyak dua kali. Bukan kerana fobia mahu bernikah, tetapi dia membuat keputusan mahu memutuskan pertunangan kerana bekas-bekas tunangnya dulu tidaklah sekaya yang dia mahukan. Bekas tunang yang pertama, hanya bekerja sebagai pembantu takbir. Berkereta terpakai dan kadang-kadang hanya menaiki motosikal ke tempat kerja. Setiap kali keluar berjumpa, aktiviti mereka terhad kerana lelaki ini kuat berjimat. Dia terpaksa menyara adik-adiknya seramai lima orang yang masih bersekolah. Oleh kerana kewangan yang masih belum kukuh, Asyira selalu sahaja menjadi tempat dia meminjam wang. Selepas bertunang, keadaan semakin kritikal. Lama kelamaan, Syira tidak tahan. Sayang yang tertanam di hati, semakin hari semakin layu, semakin longlai bagai tak berdahan lagi. Sebelum dia mengalami nasib yang sama seperti kakak-kakaknya, lebih baik dia mengundur diri. Maka pertunangan yang mencecah setahun itu terputus begitu sahaja.
            Begitu juga dengan tunangannya yang kedua. Bekerja sebagai pembantu perubatan, mempunyai rupa paras yang hensem. Dari lagak gayanya, seperti hartawan ternama. Baju berjenama, kasut mahal, kereta mahal, segala-galanya mahal. Tetapi kedekut orangnya. Dia hanya memikirkan tentang keperluaan sendiri. Kereta mahal yang di milikinya hanya disimpan di rumah. Dia menaiki motosikal ataupun lebih rela menumpang kereta kawan ke tempat kerja. Bukan sahaja kedekut malah pendapatan Syira juga dikawalnya. Segala gerak geri Syira di bawah pengawasannya. Akibat tidak tahan, Syira memutuskan pertunangan yang baru berganjak ke usia enam bulan itu.
Kini Asyira berjinak-jinak pula dengan anak guru besar di sekolahnya. Apabila terpandang sahaja kereta mewah Azman, dia sudah tahu Azman bukan calang-calang cikgu. Dari penampilan Azman, Syira sudah tahu Azman memilik kekayaan. Tambahan pula, Asyira pernah curi-curi mengikut kereta Azman sewaktu pulang dari sekolah, semata-mata mahu mengetahui keadaan rumah Azman. Apabila melihat Azman memasuki rumah kayu yang mewah, Asyira sudah memasang niat yang serong, niat mahu memiliki teruna itu, mahu memiliki kereta mewah edisi terbaru itu, ingin memiliki rumah mewah itu. Dia mahu memiliki segala-galanya. Segala apa yang diidamkan akan terlaksana dengan tertumbuhnya cinta teruna itu terhadapnya. Lalu langkah seterusnya adalah, menambat hati Azman.





Pagi ini Azman turun awal. Pukul tujuh tepat dia sudah berada di meja makan. `Ibu baru sahaja siap membakar roti, Azman duduk dan menolong ibu meletakkan jem pada roti bakar.
“Man dah ok?”
“Dah…” Azman menjawab pendek. Dia tahu ibu masih risaukan kesihatannya. Tetapi hari ini dia benar-benar sudah sihat. Sudah bertenaga seperti sediakala.
“Man panggilkan Reen, Dia kat luar tu, panaskan enjin skuter,”
“Makan je ibu, biar la dia tu, malas nak panggil-panggil, kang gaduh pulak.” Azman menjamah roti. Ibu hanya menggeleng apabila mendengar jawapan Azman. Seketika, belum sempat sesiapa pun memanggil Eyreen, dia masuk ke dalam rumah dan berjalan perlahan menuju ke dapur.
“Reen sini Reen, kita sarapan.”
Azman diam saja,. Dia terus menjamah roti tanpa memperdulikan Eyreen.
“Ibu..skuter tak nak hidup pula. Macam mana ni?” Eyreen yang sudah berunifom sekolah itu menggaru-garu kepala. Resah kerana skuter kesayangannya mula menunjukkan simptom-simptom kerosakan yang teruk.
“Duduk dulu, makan roti tu.., pagi-pagi kena makan, jangan biar perut tu kosong, nanti sakit.” Eyreen serba salah. Rasa mahu duduk dan tidak mahu sama banyak. Kalau fikirkan Ibu yang ikhlas itu, dia memang tak kisah. Tetapi, memandangkan Azman ada di situ, hatinya berasa berat mahu menyertai aktiviti bersarapan beramai-ramai itu. Lebih baik dia berlapar.
“Tak apalah ibu..Reen dah kenyang, nak pergi tengok skuter tu, mana tau dah okey ke..”
“Kamu jangan banyak songeh, meh sini duduk, makan, jangan nak peduli orang tu.”
Ibu menarik tangan Eyreen, lalu memaksa Eyreen duduk di sebelah Azman. Azman mengganjakkan kerusinya. Dia tidak selesa dengan kehadiran Eyreen di situ.
Eyreen menjeling. Dia benar-benar menyampah dengan kelakuan Azman.
Ibu hanya memerhati gelagat mereka, lalu menggelengkan kepala.
“Reen, makan lak. Jangan segan-segan. Kita tinggal satu rumah. Dah jadi satu family,. Jadi, jangan nak malu-malu. Pasal skuter tu jangan risau. Kejap lagi ibu ada masyuarat kat sekolah Sri Aman. Eyreen tumpang je Azman ke sekolah.” Ibu mengomel panjang lebar, dan ayat yang terakhir itu membuatkan Azman hampir tersedak.
“Tumpangkan budak sengal ni? Minta maaf, minta ampun ye…naik je teksi.” Azman dengan selamba menyuarakan kejujuran hasrat hatinya terhadap Eyreen. Dia tidak mahu menyeksa diri lagi semata-mata mahu mengikut kehendak ibunya. Tiba-tiba Eyreen bangun.
“Ey.. kau ingat aku teringin sangat lah nak tumpang kau.Sikit pun aku tak pernah fikir tau.” Eyreen hampir menjerit.
“Ha.. bagus lah kalau dah kau cakap macam tu,. Terima kasih banyak-banyak.” Eyreen kembali duduk,. Dadanya turun naik, turun naik akibat menahan marah yang menular dalam darahnya dengan cepat.
Azman diam. Puas hatinya sekarang.
 Ibu hanya duduk, memekakkan telinga dan menelan roti dengan perlahan.
Tanpa menjamah apa-apa, Eyreen bangun mahu meninggalkan meja makan.
“Reen nak ke mana?” Ibu terperanjat.
“Nak pergi telefon bos. Nak suruh dia jemput.”
“Tak payah saying…., duduk je, makan dulu, kejap  lagi tumpang je Azman,” Ibu agak tegas.
Azman terlopong. Agak terkejut dengan arahan ibu.
Eyreen juga tak berdaya untuk bersuara. Dia kaku. Hendak beredar salah, hendak berada terus di situ pun salah.
Azman bangun, menghampiri ibunya dan membisikkan sesuatu.
“Ibu….jangan buat pasal ibu, nanti timbul pulak gosip kat sekolah tu, ibu…tolong lah faham ibu…hubungan Man dengan Syira kan baru nak..”
“Muktamad…” Tiba-tiba ibu bersuara, hampir menjerit. Lalu ibu bangun, mencapai beg tangan dan terus beredar meninggalkan Azman yang diam kelu.
Eyreen bangun, tetapi tidak berdaya untuk menyuarakan apa-apa.


 15
Kereta ibu telah lesap daripada pandangan. Kini tinggal Azman dan Eyreen yang saling berpandangan sama sendiri. Azman keluar dari pintu, mengarungkan kasut tanpa bersuara. Sesungguhnya dia amat bengang dengan tindakan ibu.
“Puas la hati kau”? Azman sedikit menengking. Eyreen yang sedang menyarung kasut tersentak. Ish! Suara macam halilintar membelah bumi. Aku lempang kang…
 “Apa hal aku pulak? Ibu yang decide macam tu. Aku mana tau apa-apa.”
“Kau bomohkan ibu ek?” Azman menuduh.
“Ey.. bomoh-bomoh pulak, kau ni khurafatlah.”
“Habis tu? Sebelum kau tinggal sini, ibu ok je, sekarang tengok apa dah jadi?”
“Apa dah jadi?” Eyreen pura-pura bodoh. Dia memuncungkan mulut, sambil berlagak seolah-oleh sedang berfikir. “Apa dah jadi ya?”
“Kau memang bodoh” Azman menunjal dahi Eyreen.
Eyreen menepis. Lalu bertubi-tubi tamparan hinggap ke bahu Azman.
Azman pula menepis. Pedih bahunya terkena tamparan Eyreen yang bertubi-tubi itu.
“Woi.. sakit lah..” Azman menolak tubuh kurus kering itu.
 Eyreen terjelepuk di lantai .
“Aduh…”Eyreen mengosok-gosok lengannya.
Azman terperanjat. Alamak, terjatuhlah pula. Azman serba salah. Niatnya tidaklah sekejam itu. Dia tidak pernah pun terfikir mahu mencederakan budak kasar itu. Tetapi jauh sekali dia mahu menunjukkan sikap baik hatinya.
“Bangunlah, jangan nak mengada.”
“Tangan aku sakitlah bodoh…” Eyreen menyinsing lengan baju sekolahnya. Dia mencari tempat yang terasa pedih.
Azman bersahaja. Dia berjalan menuju ke keretanya dan menguak pintu kereta.
 Eyreen bangun, mencapai beg sandang yang berada di atas kusyen skuternya dan berlari ke arah kereta. Dengan pantas dia membuka pintu kereta, masuk dan duduk di sebelah Azman.
“Woi.. siapa suruh masuk, ey.. pandai-pandai je kau kan?”
Eyreen tidak memperdulikan Azman, dia asyik membelek lengannya yang terluka.
“Kau tengok ni, apa kau dah buat? Kau memang jahat…jahat…...” Eyreen menjerit sambil menarik-narik kemeja Azman.
“Wei.. berkedutlah baju aku sengal…kau ni memang banganglah..” Azman memberhentikan kereta , dan mencari sesuatu di tempat duduk belakang. Jumpa! Dia mencapai kotak first aid lalu dilempar ke atas peha Eyreen.
“Nah, ambil plaster dalam tu, manja.” Azman menghidupkan enjin kereta dan memecut laju ke sekolah.
Eyreen berusaha membuka kotak first aid, sementara calar di lengan kirinya sudah mula berdarah. Calar itu memang sedikit, tetapi pedihnya lain macam. Rasa berdenyut saja. Bila di gerakkan pergelangan tangannya, terasa seolah tersekat-sekat. Rasa tidak seperti selalu.
            Eyreen mengeluarkan plaster, lalu di lekatkan pada lukanya.
“Kalau tangan aku jadi apa-apa, siap kau Man…aku patah-patahkan tangan kau.”
“Tak akan apa-apa punya. Kau tu yang mengada, manja.” Azman memecut laju sambil membebel. Eyreen membaling kotak first aid ke tempat duduk belakang. Dia bersandar dan diam saja.
“Ha, apa hal tak melawan?” Tiba-tiba Azman bersuara.
“Malas cakap dengan orang bodoh.” Balas Eyreen.
Sudahnya mereka diam. Sehingga akhirnya kereta sudah terpacak di tempat letak kereta.
Eyreen turun dengan pantas dan menghayutkan langkahnya yangg luas itu dengan laju.
Azman juga turun.
“Perempuan bodoh, ish..”. Dia menyepak tayar kereta.
“Selamat pagi….” Tiba-tiba suara yang amat dirinduinya menyerbu masuk ke lubang telinga. Azman berpaling, senyuman yang sangat manis menghiasi bibirnya tika ini.
“Selamat pagi..awak sihat?” Azman berjalan perlahan beriringan dengan Syira yang kelihatan sangat jelita dengan kurung moden bewarna ungu. Bertudung ungu muda. Di atas matanya kelihatan ada secalit warna dari nada yang sama. Syira kelihatan sangat manis dan ayu.
“Azman…sepatutnya saya yang tanya awak soalan tu…Dah sihat ke belum?”
 Azman tersenyum lagi. Hatinya cukup berbunga bila terpandang wajah lembut itu. Tenang sanubari lelakinya apabila berhadapan dengan gadis telus ini.
“Saya? Sihat dah…betul-betul dah sihat sekarang…sebab..” kata-katanya terhenti.
“Sebab apa?” Langkah cikgu genit itu terhenti. Keningnya yang melengkung, terjungkit sedikit kerana mimik kehairanan yang berlaku secara automatik ke atas riak wajahnya.
“Sebab….dah tengok muka awak…!” Gelak kecil tercetus di bibir mungil menggoda itu. Bibir yang terpalit dengan lips glos pink muda bersinar setiapkali ia bergerak-gerak. Sungguh menawan ciptaan ALLAH, mencipta seorang Asyira yang begitu menarik dan cantik. Seolah-olah gadis ini adalah jelmaan seorang puteri dari kayangan.
“Awak ni kan Azman, dah makin pandai bergurau tau...”
“Siapa bergurau? Saya serius ni..” Azman pura-pura berwajah serius, lalu kedua-duanya ketawa dan berjalan semula menuju ke bilik guru.
“Man…nak tanya sikit boleh?”
“Apa?”
“Eyreen tu..ada apa-apa ke dengan awak?”
“Hah? Eyreen? Tak adalah, tak ada apa-apa yang istimawa antara kami, antara kita mungkin ada..hehehe.” Azman cuba berjenaka.
Syira diam sebentar, seolah-olah memikirkan sesuatu.
“Tadi dia datang dengan awak kan? Dia tinggal dengan…”
“Ey.. sekejap, sekejap, jangan salah faham, Si sengal tu cuma menyewa bilik kat rumah saya, tadi moto dia rosak, jadi saya tumpangkan dia. Jangan nak salah faham.” Azman menjelaskannya dengan panjang lebar. Dia tak mahu kerana Eyreen, hubungannya dengan Asyira yang baru saja bertunas reput begitu sahaja. Berulat dan menyembah bumi sebelum dibajai. Sungguh dia tidak sanggup membiarkan Asyira terlepas ke tangan orang lain. Rasa sayang yang kian menular dalam urat darahnya kini kian merebak ke hatinya. Semakin hari semakin rindu, semakin hari semakin sayang.
            Kasih sayang itu dapat di lihat di mata Azman. Lebih jelas lagi apabila mendengar sahaja jawapan Azman pada soalan itu.  Asyira sudah tahu, betapa tinggi harapanya untuk memiliki Azman. Sekarang, misinya yang utama adalah menambat hati Azman yang sememangnya telah tertambat. Lalu, dia akan berusaha agar Azman lebih menyayanginya melebihi sesiapa pun.
“Syira, kenapa diam?” Azman sedikit risau.
Asyira tersenyum.
“Tak ada apa-apa…ermmm saya nak sewa bilik, ada lagi tak yang kosong? Heheh.” Syira berseloroh sambil ketawa kecil.
“Terlambat dah..” Azman juga turut tergelak sama, lalu langkah mereka beriringan menuju ke dalam bilik guru.

0 comments:

Post a Comment

 


ShoutMix chat widget

Tinta Kasih Publication Copyright © 2009 Community is Designed by Smart TemplateSmart DesignerSmart Tutorial